Banjir: Kutip 13 tan sisa sampah sehari

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 30 Dis – Sisa sampah di Melaka meningkat tiga kali ganda ekoran insiden banjir berbanding kebiasaan, kata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengarahnya, Khairuladha Abdul Mutalib berkata, sebanyak 12.58 tan sampah dikutip sehari berbanding hari biasa ekoran kerja-kerja pembersihan kediaman yang sedang giat dijalankan penduduk selepas banjir surut.

Menurutnya, selama tiga hari bermula 21 Disember lalu, sebanyak 38.56 tan sampah dan sisa pukal dikutip di sekitar Alor Gajah dan Lubok China.

“Antara sampah paling ketara yang dikutip di kawasan yang terkesan dengan banjir ialah seperti perabot yang rosak dan barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais serta televisyen.

“Bagaimanapun, kutipan sampah dan sisa barangan yang rosak akibat banjir tidak banyak jika dibandingkan dengan insiden banjir sebelum ini yang jauh lebih serius,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

SEBAHAGIAN perabot yang rosak dibuang di tepi jalan Pekan Lubok Cina yang terjejas akibat banjir.

Katanya, insiden banjir yang berlaku dalam daerah Hang Tuah Jaya pada sekitar Okt dan Nov lalu terutama kawasan Bukit Beruang lebih serius berbanding yang berlaku kali ini.

“Banjir kali ini khususnya di kawasan Lubok China, banyak melibatkan rumah kampung berbanding banjir yang melanda kawasan taman perumahan sebelum ini, ” katanya.

Ujarnya, kerja-kerja pembersihan digembleng bersama 30 petugas agensi itu beserta lapan lori Roro pelbagai saiz, lori pemungut sampah dan jentera penyembur.

Kata Khairuladha, kerja pembersihan dan kutipan sampah tertumpu di tujuh lokasi yang merupakan kawasan terjejas banjir antaranya Pekan Lubok Cina, Taman Wira Indah dan Kampung Teluk Barembang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1301
Kongsi :
Previous post Banjir: Kos baik pulih rumah tinggi rungsingkan mangsa
Next post ADUN Klebang ketuai lafaz ikrar bebas rasuah
Ubah saiz-+=