
MELAKA DIDIK KOMUNITI CAKNA CEGAH KEBAKARAN
BEMBAN 4 Julai – Kesedaran rakyat dalam menangani serta mencegah kebakaran di persekitaran komuniti akan terus diperkasa Kerajaan Negeri menerusi Kempen Kesedaran Kebakaran yang diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, program itu diadakan bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran penduduk berkaitan langkah-langkah keselamatan kebakaran, khususnya di kawasan kediaman strata seperti Program Residensi Rakyat (PRR).
Oleh sebab itu, jelas beliau, PRR Tehel, di sini, dipilih sebagai lokasi penganjuran kempen, di mana antara objektif utama program tersebut adalah untuk memberi latihan penggunaan alat pemadam api asas, mengenali laluan kecemasan, serta memupuk budaya keselamatan dalam komuniti supaya setiap orang berperanan aktif mencegah kebakaran.
“Program ini turut merangkumi pelbagai pengisian menarik seperti demonstrasi teknik pemadaman awal, latihan evakuasi kebakaran (mock drill), pemeriksaan pendawaian elektrik, pameran keselamatan, serta sudut kanak-kanak yang dimeriahkan dengan pertandingan mewarna.
“Keselamatan bukan sekadar teori, tetapi harus dipraktikkan secara berterusan agar komuniti lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi sebarang insiden kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Kebakaran anjuran Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di perkarangan PRR Tehel, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pengarah Eksekutif LPM TPr. Murad Husin.
Dalam pada itu, Rais turut menyeru agar Jawatankuasa Penduduk PRR dapat melaksanakan sesi latihan secara berkala dan memastikan aktiviti kesedaran kebakaran itu diteruskan meskipun kempen telah tamat.
“Saya juga berharap penduduk memberi sepenuh perhatian sepanjang taklimat, latihan evakuasi dan demonstrasi pemadaman api supaya ilmu yang diperoleh benar-benar dapat menyelamatkan nyawa jika berlaku kecemasan sebenar kelak.
“Kebakaran boleh berlaku tanpa diduga jadi jangan sesekali ambil mudah perkara membabitkan keselamatan seperti ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.