Banjir: Melaka sedia teruskan misi bantuan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUANTAN 25 Dis – Melaka akan meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di negara ini pada masa akan datang.

Ketua Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Pahang, Datuk Shadan Othman berkata, bantuan seumpamanya akan diteruskan demi membantu negeri terjejas sekali gus mengeratkan hubungan baik di antara negeri-negeri seluruh negara.

“Saya rasa kita akan teruskan lagi kalau sekiranya diperlukan untuk menghantar bantuan seperti ini.

“Hari ini kita telah menyampaikan pelbagai jenis barangan keperluan asas yang disumbangkan pelbagai pihak dalam anggaran nilai RM80,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengetuai misi berkenaan bagi menghantar bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Panching Selatan, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali telah menyempurnakan pelepasan peserta misi bantuan apsca banjir ke Pahang di Seri Negeri pada jam 9.10 pagi tadi.

Konvoi disertai 50 sukarelawan menaiki 18 kenderaan itu selamat tiba tepat jam 1.50 tengah hari tadi.

Bantuan keseluruhan bernilai RM80,000 sumbangan dari pelbagai pihak di Melaka telah selamat diagihkan ke pusat pengumpulan barangan di Dewan Semai Bakti itu.

Dalam pada itu, Shadan yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengucapkan penghargaan kepada semua peserta terlibat dalam misi berkenaan termasuk kerajaan negeri Pahang yang bersama membantu merealisasikan misi berkenaan.

“Terima kasih juga kepada kerajaan negeri Pahang kerana memberi peluang Melaka menyampaikan sumbangan menerusi Parlimen Paya Besar ini.

“Kita memilih Pahang kerana difahamkan Melaka mempunyai hubungan baik bersama negeri itu dan telah memberi ‘lampu hijau’ kepada Melaka bagi mengagihkan bantuan ini.

“Alhamdulillah, bantuan ini akan diagihkan sewajarnya dan bersyukur apabila dewan yang dilihat kosong pada awalnya kini dipenuhi dengan pelbagai jenis bantuan yang dibawa dari Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

945
Kongsi :
Previous post Banjir: Bantuan mangsa terjejas di Pahang selamat diagihkan
Next post Banjir: Melaka contoh negeri prihatin – Mohd Shahar
Ubah saiz-+=