Banjir: Sediakan 200 bungkus makanan edar untuk mangsa terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 26 Dis – Bukan mudah untuk bangun jam 2 pagi semata-mata untuk memasak 200 bungkus makanan sebelum diinfakkan kepada mangsa banjir di Lubok China.

Biarpun terpaksa bersengkang mata sejak seminggu lalu, Norita Omar, 61, dan suami, Zailan Ahmad, 61, dan anak mereka, Nurul Ain, 35, serta adik tiri Norita, Nordiana Ismail, 38, menikmati kepuasan berpeluang menabur budi kepada mangsa banjir.

Norita berkata, sejak banjir besar melanda pekan Lubok China dan beberapa kampung sekitarnya, terutama Kampung Telok Berembang, Pengkalan Pauh dan Sungai Jerneh pada 19 Disember lalu, mereka bersepakat menyediakan makanan yang dimasak sendiri.

“Nurul Ain yang bertugas sebagai guru mengajak saya dan suami serta Nordiana memasak pada awal pagi untuk disedekahkan kepada mangsa banjir.

“Banjir mula melanda pada jam 5 pagi 18 Disember lalu dan kami mula memasak sebelum mengagihkan makanan kepada mangsa banjir mulai sehari selepas itu bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui menyerahkan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Telok Berembang hari ini.

SEBAHAGIAN daripada 200 bungkus makanan yang disediakan oleh Norita dan anggota keluarganya sebelum diinfakkan kepada mangsa banjir di Lubok Cina, dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Nordiana berkata, meskipun keletihan dan terpaksa menahan mengantuk, mereka sekeluarga bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik untuk memasak dan menjelajah pelbagai pelosok kampung untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir.

“Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada kami untuk berinfak kepada mangsa banjir.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul dan kami sangat terkesan menyaksikan betapa sukarnya mangsa banjir terpaksa bertungkus-lumus membersihkan kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, mangsa banjir, Zainoorita Abu Bakar, 45, berkata oleh kerana terlalu sibuk membersihkan kediaman neneknya di Kampung Telok Berembang, dia tidak sempat menyediakan makanan.

Katanya, dia terhutang budi kepada Norita dan anggota keluarganya yang sanggup bersusah payah menyediakan makanan dan mengagihkannya kepada dia dan mangsa banjir yang lain.

“Budi mereka tidak ternilai dek wang ringgit dan semoga Allah mengurniakan keberkatan kepada mereka sekeluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post TYT prihatin nasib mangsa banjir, beri sumbangan
Next post Johor catat dua kes omicron terawal babitkan pasangan suami isteri pulang dari umrah
Ubah saiz-+=