Banjir surut tapi…

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Mei. – Banjir di kawasan ini sudah surut sepenuhnya tetapi kerosakan disebabkan air bah setinggi kira-kira 1.2 meter menyebabkan kerugian besar kepada pekebun sayur.

Pekebun, Mohamad Abdul Rahman, 59, dan rakan kongsi, Mohd Anuar Sulaiman, 40, menganggarkan kerugian dialami mereka kira-kira RM30,000 akibat kehilangan pelbagai hasil tanaman di kawasan seluas 1.6 hektar di Kampung Paya Rumput, Tanjung Kling di sini.

Mohamad berkata, sayur seperti bayam, kangkung, sawi, bendi, kacang panjang dan peria katak yang diusahakannya sejak lima tahun lalu musnah.

MOHAMAD memerhatikan pekerja memetik baki sayur peria katak selepas banjir surut di kebunnya di Kampung Paya Rumput, Tanjung Kling.

“Banjir Ahad lalu menyebabkan laluan masuk ke kebun dan kandang lembu tidak boleh dilalui kerana dinaiki air setinggi empat kaki (kira-kira 1.2 meter).

“Dua hari lembu saya tidak makan manakala sebahagian besar hasil tanaman gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di kebunnya semalam.

Mohamad dan Mohd Anuar menerima kunjungan Pegawai Jabatan Pertanian Kawasan Bukit Rambai, Mohd Awis Zaharullah yang melakukan bancian kerosakan tanaman pekebun.

Mohd Anuar berkata, banjir turut menyebabkan jentera pam air di kandang lembu dan kebun sayur rosak dan memerlukan kos tinggi untuk pembaikan.

“Kebanyakan sayur itu sudah boleh dituai untuk dipasarkan tetapi takdir Allah tiada siapa pun mampu menghalangnya dan kami tidak sempat untuk menjual hasil tanaman kali ini.

“Lazimnya hujan lebat di kawasan ini pada September hingga Disember tetapi kali ini berlaku pada Mei.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos yang lebih untuk menanam semula pelbagai jenis sayur dan membaik pulih mesin air,” katanya.

Menurutnya hasil tanaman mendapat pasaran yang baik daripada pemborong dan peniaga di beberapa pasar tetapi kali ini mereka akur mengalami kerugian yang besar.

Sementara itu Mohd Awis berkata, jabatan berkenaan mengumpul data kerosakan tanaman dan kerugian dialami pekebun untuk membantu mereka meneruskan industri penanaman sayur.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada Jabatan Pertanian berhasrat menyediakan peruntukan bagi membantu pekebun yang terjejas akibat banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Sanggup jadi keldai dadah dengan upah 1 gram syabu
Next post Hampir seluruh daerah di Semenanjung kini zon merah- KP kesihatan
Ubah saiz-+=