Sanggup jadi keldai dadah dengan upah 1 gram syabu

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Seorang remaja lelaki tergamak meletakkan nyawanya ke tali gantung dengan menjadi keldai dadah berupahkan satu gram dadah jenis syabu  bernilai RM100 sebelum dia ditangkap semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, anggaran nilai dadah itu adalah sebagai upah terhadap suspek berusia 23 tahun untuk menyimpan 510 gram syabu di rumah keluarganya di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga di sini.

Menurut beliau, tangkapan itu susulan serbuan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di rumah keluarganya kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

“Hasil serbuan di sebuah bilik rumah terbabit, polis menemukan empat balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 510 gram disimpan dalam satu beg berzip.

“Kesemua dadah dianggarkan bernilai RM2,000 dan siasatan awal suspek mengaku baharu seminggu aktif menjadi keldai dadah.

“Suspek turut mengaku diberi upah satu gram syabu anggaran nilai RM100 untuk menyimpan kesemua dadah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Menurut Zulkiflee, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang tidak bekerja turut didapati positif syabu selain turut mempunyai rekod jenayah lampau memiliki dadah.

Tambahnya berdasarkan siasatan awal juga, suspek dipercayai bergiat aktif sekitar Taman Asean dan Pulau Gadong sejak kira-kira seminggu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama kerana positif dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1743
Kongsi :
Previous post Kerajaan lulus permohonan bernilai RM12.888 bilion di bawah PSU 1.0 setakat 7 Mei- Tengku Zafrul
Next post Banjir surut tapi…
Ubah saiz-+=