Banjir: Tahan sedih lihat 2,000 ayam kampung jadi bangkai

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER LIMAU 6 Jan – Bukan mudah untuk menghadapi kehilangan lebih 2,000 ayam kampung, 50 arnab dan 1,200 ‘poly bag’ cili padi akibat banjir yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000.

Namun, segala kepedihan itu diterima dengan sabar dan reda usahawan tani, Zulkifli Osman, 55, kerana beliau memahami ujian Allah ada hikmah di sebaliknya.

Zulkifli menjelaskan, ketika banjir besar 5 pagi, 18 Dis lalu, beliau dan beberapa pekerjanya berusaha untuk menyelamatkan haiwan ternakan tetapi tidak berdaya apabila mendapati air sudah mencecah dua meter.

“Saya melarang pekerja masuk ke reban arnab dan ayam kampung kerana bimbang keselamatan mereka dan tiada apa yang mampu kami lakukan selain menahan kesedihan menyaksikannya.

“Hanya selepas air surut pada jam 9 pagi keesokannya, kami dapat masuk ke dalam kandang untuk mengutip bangkai ayam kampung dan arnab,” katanya.

ZULKIFLI mengutip bangkai ayam kampung selepas
banjir surut di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri I Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah yang meninjau kerosakan akibat banjir di ladangnya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina dekat sini semalam.

Zulkifli berkata, beliau memulakan industri penternakan arnab, ayam kampung, kambing, lembu dan penanaman cili padi secara fertigasi di kawasan seluas 1.6 hektar pada 2015.

“Alhamdulillah saya sudah beberapa kali menikmati hasil jualan dan banjir besar kali ini saya terima dengan reda walaupun terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000.

“Saya amat berharap MAFI mampu menghulurkan sumbangan bagi membantu saya membina semula industri itu kerana ia membabitkan modal besar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kajian rambang MAFI mencatatkan kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai ‘Wira Agro’ mengalami kerugian kira-kira RM69 juta.

Beliau berkata, di Melaka sahaja, seramai 275 Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta akibat banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1376
Kongsi :
Previous post Banjir: Petani dan penternak rugi RM2.8 juta
Next post Johor luluskan pindaan calon 18 tahun bertanding pilihan raya
Ubah saiz-+=