‘Bantu saya cari kerja’

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 9 Julai – Mohamad Imran Mohamad Saleh tidak gemar meminta-minta apatah lagi menagih simpati orang ramai selepas kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Namun, hatinya amat tersentuh apabila anak bongsu dari lima anaknya, Sofea Dalisya, 2 tahun, menangis kelaparan meminta susu.

Lantas Mohamad Imran, 36, tanpa menghiraukan perasaan malu menemui Jawatankuasa Penduduk Perumahan Kos Rendah Krubong untuk meminta bantuan bank makanan.

Pak Ngah bertanyakan sesuatu kepada Mohamad Imran ketika menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan.

“Saya tahu memang ada disediakan bantuan makanan oleh persatuan penduduk di sini tetapi saya segan nak meminta-minta tetapi hari ini (semalam) saya sudah hilang ikhtiar.

“Beberapa hari lalu saya sudah melakukan bermacam kerja, dari mengorek longkang kotor dipenuhi sampah sehinggalah mengambil upah memotong rumput, dapatlah RM30 tampung belanja dapur,” katanya ketika ditemui kediamannya di Projek  Perumahan Rakyat, Krubong, semalam.

Menurut Mohamad Imran, sejak diberhentikan kerja dari kilang makanan pada Februari lalu, dia menghadapi kesukaran melengkapkan keperluan isteri, Nuraini Azhar, 28, serta empat anaknya yang lain Aisyah Kasturi, 8; Siti Niwa, 6; Adami, 4; dan Hawwa berusia 3 tahun.

“Isteri ada menyatakan hasrat nak bekerja tetapi macamana dengan anak-anak yang masih kecil, saya tidak mampu nak mengambil pengasuh menjaga anak.

“Dia juga mahu berniaga menjual kuih di kawasan rumah tetapi kami tiada modal kerana upah kerja saya tidak menentu, kadang-kadang dapat RM30 hingga RM50, itupun digunakan untuk belanja beli barang dapur.

“Percayalah, saya sudah mencuba pelbagai kerja untuk sara keluarga dan masih mencari pekerjaan sekarang ini, harap ada sesiapa yang sudi memberi saya pekerjaan dapatlah saya dan keluarga menjalani kehidupan hari-hari,” katanya.

Mohamad Imran bergambar bersama Pak Ngah (dua dari kiri) dan Abdullah Omar.

Menurut Mohamad Imran, dia ada menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM250 sebulan dan berhasrat memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mujurlah MAIM ada beri bantuan makanan secara bulanan, cukuplah menampung keperluan anak-anak yang sedang membesar namun saya tidak pasti berapa lama lagi kami sekeluarga dapat bertahan.

“Pernah saya disindir dan dicerca kerana sanggup bergelumang dengan lumpur parit ketika mengambil upah membersihkan longkang tetapi saya tidak kisah, asalkan anak dan isteri dapat makan,” katanya.

Prihatin nasib dihadapi Mohamad Imran, seorang mekanik, Shikh Muhammad Makhdad Harun atau Pak Ngah tampil menghulurkan bantuan susu tepung, ayam dan lampin bagi melengkapkan keperluan harian keluarganya.

Turut hadir menyampaikan sumbangan makanan ialah Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Abdullah Omar.

Orang ramai yang berhasrat menghulur bantuan atau ingin menawarkan pekerjaan kepada Muhammad Imran boleh menghubunginya di talian 018-9044696.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post Pautan 22 institusi tawar moratorium
Next post Ismail Sabri mula tugas timbalan perdana menteri
Ubah saiz-+=