“Bantulah kami cari rezeki”

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat
HAKISAN menyebabkan tebing pantai terbentuk setinggi satu meter dan menyukarkan nelayan turun naik ke laut di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 6 Julai – “Bantulah kami untuk mencari rezeki di laut kerana semakin lama tidak dapat turun ke laut, semakin lama jugalah dapur kami tidak berasap.

“Sudah enam hari kami tidak dapat mencari rezeki di laut kerana perahu tidak mampu melepasi tebing setinggi satu meter yang terbentuk akibat hakisan pantai,” kata nelayan, Alwi Omar, 68.

Beliau mendakwa, kira-kira 80 nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini tidak mampu mencari rezeki di laut berbanding sebelum ini berikutan pantai yang berfungsi sebagai pangkalan nelayan meletakkan perahu gentian kaca dan perahu kayu masing-masing serta peralatan menangkap ikan mengalami kerosakan akibat hakisan pantai.

“Sejak enam hari lalu, ombak kuat yang memukul pantai mengakibatkan hakisan semakin melebar dan mengancam perahu serta jaring, rawai dan bermacam-macam lagi peralatan menangkap ikan kami.

“Tebing tinggi yang terbentuk akibat pukulan ombak menyebabkan kami tidak dapat menolak perahu turun dari pangkalan ke gigi pantai dan begitu juga untuk menarik perahu naik ke pangkalan selepas pulang daripada menangkap ikan,” katanya ketika
ditemui di kampung itu hari ini.

Alwi mendakwa, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 10 pagi ini, tiang pondok perahu milik nelayan yang dikenali sebagai Azam, patah dan menyebabkannya hampir menyembah bumi.

Kejadian itu menyebabkan nelayan terbabit terpaksa memotong ‘winch’ yang berfungsi menarik perahu naik ke pangkalan bagi membolehkan nelayan bergotong-royong memindahkan perahu lebih jauh dari gigi pantai.

Sehubungan itu, Alwi merayu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengambil langkah menambak semula lubang yang terbentuk pada tebing pantai sebagai langkah sementara sebelum jabatan itu mendapatkan peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak.

Katanya, langkah menambak pantai itu adalah kaedah jangka pendek bagi membolehkan nelayan menolak perahu turun ke gigi pantai untuk mencari rezeki sementara menunggu benteng pemecah ombak dibina.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Zulfazlie Mukhlas berkata, jurutera jabatan itu akan menjalankan kajian kesesuaian membina benteng pemecah ombak di pantai berkenaan.

“Benteng pemecah ombak adalah satu daripada kaedah untuk mengurangkan hakisan pantai, selain tembok penahan ombak yang memerlukan kos yang tinggi dan kami mencuba mendapatkan peruntukan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta nelayan terbabit supaya bersabar sementara menunggu JPS memperoleh peruntukan bagi melaksanakan projek mengatasi masalah hakisan pantai.

Views:

287
Kongsi :
Previous post Kekalkan penyu khazanah laut negara
Next post “Gelaran gangster hanya persepsi, saya hanya buat kerja saya sahaja” – Norhizam
Ubah saiz-+=