“Gelaran gangster hanya persepsi, saya hanya buat kerja saya sahaja” – Norhizam

Masa Membaca:10 Minit, 53 Saat

MESKIPUN dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk ‘YB Gangster’. Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu tidak melihat situasi menimpanya sebelum ini sebagai halangan, bahkan peluang untuk menyerlahkan dirinya sebagai wakil rakyat.

Dalam wawancara bersama Melaka Hari Ini (MHI), beliau turut menekankan beberapa perkara yang menjadi keutamaannya, antaranya pertanian pintar, masalah babi hutan serta menyuarakan cadangan kepada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan pemasalahan nelayan. Ikuti Wawancara Khas MHI bersama Norhizam.

NORHIZAM ingin melihat keperluan jenis makanan termasuk ikan, daging, ayam, telur ayam, dan sayur-sayuran mencukupi. (Gambar hiasan)

MHI: Apa visi YB Datuk dalam memastikan portfolio di bawah YB terus dapat dimanfaatkan buat kerajaan negeri dan rakyat khususnya?

Norhizam: Misi dan visi saya adalah untuk memastikan Melaka mempunyai ‘food security’ yang mencukupi sekali gus memenuhi penduduk negeri Melaka yang hampir satu juta. Ini meliputi keperluan jenis makanan termasuk ikan, daging, ayam, telur ayam, dan sayur-sayuran.

Bagaimanapun cabaran kerajaan negeri adalah terpaksa menggunakan teknologi memandangkan kita kerajaan negeri dah kekurangan tanah.

Bila kita kekurangan tanah untuk kita teruskan misi dan visi saya sebagai Exco negeri Melaka adalah dengan menggunakan teknologi. Bila kita gunakan teknologi kita memerlukan satu peruntukan yang agak besar bagi merealisasikan semua itu.

 

PERTANIAN pintar antara agenda yang ditekankan. (Gambar hiasan)

MHI: Sebelum ini, teknologi Internet of Things (IOT) dalam sektor pertanian mendapat perhatian meluas. Jadi, bagaimana kerajaan negeri dapat meluaskan teknologi IOT terutamanya untuk golongan petani luar bandar?

Norhizam: Kerajaan negeri Melaka melalui saya sebagai Exco memang berhasrat ketengahkan IOT atau Internet of Things di negeri ini.

Di samping itu menggalakkan anak-anak muda menceburi bidang ini terutamanya yang tinggal di luar bandar. Sistem IOT kita ambil kira kaedah pertanian moden, petani tidak perlu berpanas dan tidak perlu memegang cangkul.

Dengan memegang telefon pintar sahaja ia boleh direalisasikan apa yang kita nak. Antara bahan utama sistem IOT ini kita perlu sediakan polibag, kita perlu adakan sabut kelapa dan gantungkan dia. Kenapa kita gantungkan? Kerana kita tidak mahu ia dipengaruhi cuaca.

Kalau hujan lebat, tanaman kita tidak ditenggelami air. Sebab itu kita gantung dalam paras 4 kaki dari tanah.

Kemudian, kita letakkan sistem sensor di batang dan akar. Kenapa? Supaya kita boleh kenal pasti apakah keperluan yang diperlukan pokok pada setiap hari. Sama seperti manusia, kita perlukan sesuatu.

Jadi, bila kita sudah kenal pasti apakah keperluan yang diperlukan pokok setiap hari, saya percaya tanaman itu akan dikeluarkan secara konsisten. Setidak-tidaknya kita dapat mengoptimumkan tanaman yang berbuah yang mana kita guna sistem IOT.

PENTERNAKAN juga antara agenda utama Norhizam., (Gambar hiasan)

MHI: Bagaimana kerajaan negeri dapat mengoptimumkan sektor penternakan ke tahap lebih tinggi dan apa peluang Hub Halal Melaka?

Norhizam: Bila menyentuh soal optimumkan sektor penternakan, saya ingin tegaskan bahawa negeri Melaka antara negeri pengeluar ikan keli terbesar dan menjadi pengeluar telur ayam yang terbesar juga.

Sebagai Exco yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal penternakan, kerajaan negeri Melaka sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada setiap pengusaha bersama agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Melaka.

ANCAMAN makhluk perosak seperti babi hutan amat serius di Melaka.

MHI: Umum mengetahui YB Datuk begitu serius dalam menangani isu haiwan perosak terutamanya melibatkan Babi liar. Apa perancangan seterusnya bagi mengekang isu tersebut dari terus menghantui penduduk setempat?

Norhizam: Memang kita tahu isu babi agak serius di negeri ini. Sebab itulah saya dari awal-awal lagi memandang berat perkara ini sehingga saya ditertawakan dan menjadi bahan lawak oleh Maharaja Lawak.

Tapi apa-apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menularkan topik ini sehingga saya dikenali satu Malaysia. Isu babi memang sensitif bagi masyarakat orang melayu, apatah lagi dengan babi hutan yang sudah memasuki perkarangan sekolah, di perkarangan perkampungan orang Melayu, bahkan kawasan masjid.

Kita jangan sampai satu ketika babi bersila atas masjid. Payahlah kan? Jadi, pada saya, sebagai Exco saya akan bekerja keras, kalau saya tidak dapat menghapuskan babi secara total, setidak-tidaknya saya dapat kurangkan jumlah babi tersebut. Kita kena faham babi betina boleh lahirkan satu nisbah sembilan anak.

Manusia boleh lahirkan satu nisbah satu. Kita tak nak satu ketika esok, babi ini melebihi daripada penduduk Melaka. Kalau kita tak ambil berat, tak ambil serius untuk menghapuskannya. Saya sebagai Exco, kita bertindak ikut laporan.

Kalau dapat laporan dan lokasi yang diberi, saya bersama Jabatan Perhilitan iaitu penembak hampir 12 orang dengan kekuatan tiga kenderaan pacuan empat roda, kita sentiasa bergerak dan bertindak.

Sedar tak sedar, sedang rakyat sedang nyenyak tidur, saya bersama Jabatan Perhilitan kita bertindak pada waktu malam menembak dan menangkap babi-babi hutan di kawasan sekitar negeri Melaka.

 

NORHIZAM

MHI: Tular di media sosial YB pernah mengatakan bahawa babi-babi datang dari Sumatera dengan cara berenang. Boleh jelaskan perkara ini lebih lanjut?

Norhizam: Saya sebagai Exco yang berkenaan, apabila saya sering ke laut memantau kapal-kapal besar yang sering melakukan pencemaran, saya sendiri diberitahu oleh kapten-kapten kapal ini yang mereka melihat babi-babi ini berenang melalui Selat Melaka.

Apa yang saya dapat tahu, babi ini memang boleh berenang hampir 100 kilometer, jika ia mahu. Kita tahu juga negeri Melaka ini tidak jauh dari Sumatera dan babi-babi hutan ini datang dari Sumatera.

Ini daripada hasil penyelidikan saya. Apa tidaknya seperti yang kita tahu setiap tahun kita sering mengalami jerebu yang diakibatkan hutan terbakar di Sumatera dan Kalimantan. Maknanya, bila hutan terbakar, babi hutan ini akan keluar dari Sumatera dan Kalimantan. Jika dari Kalimantan, babi-babi ini akan berenang ke Sabah dan jika dari Sumatera ia akan berenang perlahan-lahan dan akan hanyut dipukul ombak sebelum singgah ke 12 pulau yang ada di negeri Melaka.

Kalau tidak, mana datang babi hutan di pulau-pulau kita? Tak ada orang bela babi hutan di pulau-pulau. Jadi, secara logiknya kita percaya ia datang dari Sumatera bila hutan terbakar.

Bila saya bercerita ramai yang ketawakan saya dan jadikan itu bahan lawak, tapi pada saya ia terpulang pada persepsi dan pendapat rakyat.

Pendapat saya, sebagai Exco yang buat kerja saya tahu babi hutan itu datang dari Sumatera dan berenang. Ia berenang sewaktu bulan mengambang sebab babi ini tahu tengok bulan.

Bila bulan mengambang ketika ombak besar dan mendarat ke bumi Melaka.

KURANGKAN monopoli orang tengah – Norhizam

MHI: Bagaimana YB Datuk melihat sektor perikanan negeri ini dapat terus berkembang dan apa usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan nelayan dari segi peluang dalam pasaran tempatan?

Norhizam: Kalau bolehlah, kita perlu kurangkan monopoli orang tengah.

Kita tak mahu ada penglibatan orang tengah. Kalau boleh, biar nelayan terus jual ikan secara terus dan boleh runding dengan penjual ikan.

Orang tengah ni sebenarnya nelayan akan jadi miskin sebab orang tengah ini. Mereka keluar modal beli ikan dan mereka akan kaut keuntungan dan mengawal harga ikan itu.

Selain itu, kita juga akan menyediakan tukun-tukun ikan serta membersihkan persekitaran laut kita dengan mengawal kapal-kapal besar daripada membuang sisa-sisa minyak, Apabila sisa-sisa minyak ini dibuang, kita khuatir tukun-tukun kita tak berhasil dan akan mengelakkan ikan daripada membiak di kawasan tersebut.

Itu tujuan utama kita. Selain itu, kita juga nak kerajaan pusat kalau boleh memberi lesen kepada nelayan-nelayan yang tidak berlesen. Kenapa saya kata begitu? Nelayan yang tidak berlesen ini mempunyai kekuatan mental dan fizikal kerana kebanyakan mereka ada yang datangnya daripada askar dan polis pencen dan datang dari warga nelayan.

Jadi, kita kena dapatkan mereka lesen. Mereka semua ini tak mahu pun subsidi minyak atau segala macam insentif nelayan. Mereka hanya nak lesen sahaja untuk halalkan mereka keluar ke laut. Tujuan kita, sebab nak banyakkanlagi nelayan kita untuk keluar ikan dan dapatkan hasil yang banyak.

Pada masa sama, saya juga memandang serius kapal-kapal besar yang berlabuh di tempat yang tak sepatutnya.

Ini menajadi masalah kepada nelayan-nelayan kita terutama mereka yang sudah melabuhkan jaring, tiba-tiba kapal besar datang tak sempat angkat dan dengan jaring-jaring habis. Sebab itu mereka tak boleh tangkap ikan lagi dan nelayan akan berkurangan sekali gus hasil tangkapan kita juga berkurang.

Selain itu, pada saya juga kerajaan kena menukar cara.

Kalau dahulu zaman saya kecil lagi dan sekarang saya dah 54, nelayan hanya jadi nelayan sahaja. Apa taknya, dari dahulu mereka hanya tangkap ikan menggunakan tongkang. Sehingga hari ini guna tongkang.

Jadi perubahan itu tidak berlaku. Kalau kita nak menuju ke era yang lebih maju lagi seperti negara-negara maju yang tidak lagi guna tongkang. Kenapa kata begitu? Sebab kita nak kerajaan lebih ke depan.

Kita nak nelayan guna tongkang yang ada awak-awak enam ke lapan orang ini, saya minta agar kita satukan mereka dan bekalkan mereka dengan kapal besar. Kita bekalkan dengan alat-alat yang canggih seperti GPS dan radar.

Satu lagi, kita juga jangan kenakan lagi persempadanan. Orang Melaka hanya boleh tangkap ikan di Melaka, orang Johor hanya di Johor.

Tak boleh macam itu. Kita sebagai kerajaan dasar kita ialah untuk melihat nelayan boleh pergi lebih ke depan. Jadi, kenapa tidak kita bagi nelayan-nelayan ini asalkan mereka warganegara Malaysia, dia boleh tangkap ikan dari Selatan hingga Pantai Timur.

Kita bekalkan mereka dengan kapal besar, radar agar mereka boleh pergi ke laut seminggu atau lebih dan bawa balik tangkapan yang banyak. Ini yang kita nak dan mereka ini tak dikenakan syarat.

Dengan itu, kita dapat kurangkan setidak-tidaknya harga ikan itu.

Harga ikan akan turun dan sekali gus rakyat akan dapat nikmati hasil tangkapan yang murah.

Sekarang sahaja kita tengok ikan dah ajdi mahal. Kalau dulu nak makan ikan memang banyak, ayam yang susah.

Tapi sekarang dah terbalik. Kalau nak makan ikan jadi mahal dan dah boleh kata untuk orang yang berduit sahaja. Apa tidaknya, ikan kembung sekilo sahaja dah pergi ke RM16 ke RM18 yang boleh makan sehari.

Tetapi kalau beli ayam seekor, boleh makan tiga hari. Jadi orang dah tak mampu beli ikan. Jadi, untuk mengurangkan harga ikan itu, kita perlu konsortiumkan atau kumpulkan nelayan dan beri mereka satu kapal besar dengan kelengkapan lengkap supaya mereka boleh turun ke laut di seluruh negara dan mampu bawa balik hasil tangkapan yang banyak, sekali gus mengurangkan harga ikan.

Secara tak langsung lagi, nelayan-nelayan asing di luar juga tidak boleh lagi mencerobohi perairan kita kerana sudah ada banyak nelayan yang sudah kita bekalkan dengan kapal-kapal besar ini.

Jadi mereka dapat pantau dan halang nelayan asing masuk ke perairan kita. Dasar itu perlu kita buat sebab kita sebagai kerajaan perlu ubah ke depan dan mengubah cara penangkapan ikan kita.

WALAUPUN digelar bermacam panggilan, namun beliau tidak melupakan khidmatnya kepada rakyat.

MHI: Soalan terakhir YB Datuk, walaupun YB popular digelar YB Gangster, YB tetap sentiasa dekat di hati rakyat. Apa rahsia YB Datuk dalam memenangi hati rakyat di kawasan YB dan negeri ini?

Norhizam: Gelaran gangster hanyalah satu persepsi sedangkan saya hanyalah wakil rakyat yang selalu mendekati rakyat dan saya turun padang bagi menyelesaikan hal rakyat.

Saya hanya buat kerja saya sahaja. Maka, awak kena faham, saya hari ini selesaikan masalah rakyat ini bukan hanya di DUN Pengkalan Batu sahaja. Jika datang dari Alor Gajah, Jasin atau Melaka tengah, saya tak pernah tolak. Saya akan sering menyantuni dan menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami dengan cara yang cepat.

Saya tak tunggu seminggu. Kalau boleh itu jam, itu jam juga saya akan cuba selesaikan masalah. Kalau masalah babi atau monyet, saya akan telefon Jabatan Perhilitan Melaka untuk kenal pasti hotspot-hotspot dan ambil tindakan. Kalau ke laut ada masalah kapal-kapal besar berlabuh tidak ikut syarat, kita akan ambil tindakan. Berbagai lagi masalah.

Kalau ada anak muda yang ingin berniaga dan tak tahu platform, saya akan ajukan masalah mereka. Kalau mereka perlukan modal, saya akan ajukan kepada SME Corp dan meminta agar mereka ini diberikan geran berdasarkan kertas kerja perniagaan mereka.

Di situ ada peruntukan 50 peratus bayar, 50 peratus tidak perlu bayar. Itu satu daripada masalah usahawan yang boleh saya selesaikan terutama melibatkan anak-anak muda. Saya akan sentiasa mendekati rakyat-rakyat negeri Melaka.

Begitu juga kanak-kanak, seperti baru-baru ini saya didekati kanak-kanak autisme berusia 9 tahun. Saya tak duga sekecil itu datang jumpa saya mengatakan rumahnya sudah hampir roboh dimamah anai-anai. Pun saya bantu selesaikan. Senang cakap saya jadi wakil rakyat yang mesra rakyat.

Tidak kiralah orang tua, orang muda, belia atau kanak-kanak saya santuni. Awak kena ingat, saya ni merupakan wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat. Saya sedia bekerja untuk rakyat, demi rakyat saya sanggup buat apa sahaja untuk rakyat.

Disebabkan saya sering turun padang selesaikan masalah, sebab itulah saya sering diviralkan dan sehingga hari ini saya dicop sebagai YB viral.

Kalau saya turun sahaja satu Malaysia akan mengenali saya. Saya tak minta dilahirkan begitu, tetapi Alhamdulillah apa, yang saya buat itu datang daripada keikhlasan hati saya. Sebab ikhlas itulah, sehingga hari ini saya disenangi.

Views:

663
Kongsi :
Previous post “Bantulah kami cari rezeki”
Next post Malaysia diiktiraf berjaya kawal Covid-19 – PM
Ubah saiz-+=