Malaysia diiktiraf berjaya kawal Covid-19 – PM

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PUTRAJAYA 6 Julai – Prosedur dan cara kerja pentadbiran kerajaan perlu diteliti semula bagi mempermudah urusan pembangunan semula negara dalam keadaan normal baharu pasca-Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata cara lama yang dilaksanakan sejak sekian lama tidak lagi sesuai dalam situasi pasca-Covid-19 yang memerlukan penjawat awam mengubah cara kerja dalam membekalkan perkhidmatan.

Pada perjumpaan pertamanya dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak menerajui kerajaan pada 1 Mac lepas dan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, beliau berkata lapisan-lapisan dalam membuat keputusan seboleh mungkin perlu dikurangkan dengan memberi kuasa tertentu kepada ketua-ketua agensi dan jabatan untuk membuat keputusan segera.

Katanya Ketua Setiausaha Negara pula boleh menjadi peneraju utama untuk mempermudahkan sekiranya kementerian atau agensi mempunyai perkara yang perlu dirunding supaya ia tidak menjadi isu yang boleh dikenakan tindakan juruaudit negara atau agensi-agensi penguat kuasa.

“Ini satu tindakan yang kita tidak dapat elakkan. Langkah-langkah sebegini adalah sebahagian daripada yang perlu kita fikirkan supaya urusan-urusan untuk memulihkan semula ekonomi negara dapat kita bantu dan selesaikan,” kata Muhyiddin pada perjumpaan itu di Dataran Perdana, Perdana Putra, di sini, hari ini.

Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam dan petugas barisan hadapan atas usaha menangani Covid-19 termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata hari ini Malaysia sudah sampai ke peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), iaitu satu fasa yang boleh dikatakan memberi banyak ruang untuk memulakan semula kehidupan seperti biasa.

“Dalam fasa pemulihan yang sedang kita lalui sekarang, inilah satu tempoh yang agak lebih mencabar. Ini adalah satu lagi peringkat yang perlu kita ambil kira secara terperinci.

“Walaupun Covid-19 belum selesai sehingga vaksin itu dapat ditemui, tetapi kita telah mengambil langkah ke hadapan, mungkin lebih awal daripada banyak negara-negara lain yang sedang dilanda wabak ini,” katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, kes kumulatif yang dicatatkan di Malaysia ialah sebanyak 8,663 dengan 121 kematian, dan kes aktif hanya 77.

– BERNAMA

Views:

232
Kongsi :
Previous post “Gelaran gangster hanya persepsi, saya hanya buat kerja saya sahaja” – Norhizam
Next post Perjuangan belum selesai
Ubah saiz-+=