Perjuangan belum selesai

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Kerajaan negeri merakamkan penghargaan terhadap usaha semua pihak, khususnya petugas barisan hadapan dalam membantu bumi bersejarah Melaka mencapai status zon hijau Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, berkuatkuasa semalam (5 Julai), Melaka diisytihar zon hijau berikutan tiada lagi kes baharu dicatatkan selama 14 hari berturut-turut.

Katanya, negeri ini juga kini mencapai angka sifar pesakit positif Covid-19 selepas pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Melaka telah discaj pada Jumaat lalu.

“Bukan itu sahaja, kesemua pusat kuarantin kita di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTe) Alor Gajah dan Tiang Dua juga sudah ditutup.

“Begitu juga hotel-hotel yang menjadi tempat kuarantin bagi kes import sebelum ini.

“Jadi tahniah kepada semua yang banyak membantu sepanjang tempoh ini terutama kepada petugas barisan hadapan serta tidak lupa buat rakyat negeri ini yang banyak memberikan kerjasama sepanjang tempoh ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, meskipun Melaka sudah berada di zon hijau, namun hanya Daerah Jasin sahaja yang telah diisytiharkan zon bebas Covid-19, kerana merekodkan lebih 28 hari tanpa kes positif wabak berkenaan.

“Jasin sudah 62 hari tanpa kes baharu dan diisytihar bebas Covid-19, jika mengikut protokol yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kini, kita ada dua daerah sahaja lagi yang belum mencapai tahap bebas Covid-19 iaitu Alor Gajah (21 hari tanpa kes baharu) dan Melaka Tengah (15 hari tanpa kes baharu).

“Apa pun, suka saya ingatkan bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Wabak ini masih ada di mana-mana dan vaksinnya juga masih belum ada.

“Justeru, saya sangat berharap rakyat Melaka terus berhati-hati, mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta mengamalkan budaya norma baharu.

“Memandangkan kita masih lagi berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan,” katanya lagi.

Views:

257
Kongsi :
Previous post Malaysia diiktiraf berjaya kawal Covid-19 – PM
Next post Lebih 15,000 pengunjung direkodkan naiki MTS
Ubah saiz-+=