Bapa durjana dipenjara 428 tahun 240 sebatan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 20 September – Perbuatan jijik seorang bapa memperkosa, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya sejak tujuh tahun lalu berbalas selepas mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama 428 tahun serta 240 sebatan keatasnya, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin, membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 56 tahun mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuatnya semalam, di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Nariman memutuskan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak secara berperingkat, berikutan itu tertuduh menjalani penjara selama 45 tahun manakala sebatan pula sebanyak 24 kali mengikut jumlah maksimum dibenarkan.

Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, bapa kepada lima anak itu didakwa merogol kedua-dua mangsa secara berasingan dengan 13 pertuduhan melibatkan mangsa berusia 19 tahun.

Sementara itu tertuduh berdepan lapan lagi pertuduhan mengikut seksyen yang sama bagi mangsa berusia 15 tahun.

Tertuduh turut didakwa, atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Dia turut didakwa dengan satu kesalahan lain mengikut Seksyen 377B kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa melihat tertuduh merogol mangsa yang berusia 15 tahun di kediaman mereka pada 5 September lalu.

Tertuduh, dikatakan menjadikan kedua-dua anaknya yang juga mangsa sebagai hamba seks selepas mereka berusia 12 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 24 September 2015 sehingga 5 September lalu di sebuah rumah di Taman Thamby Chik.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan menjelaskan keterangan diberikan oleh kedua-dua mangsa jelas membuktikan mereka trauma sehingga takut untuk mendekati lelaki lain mahupun saudara mereka.

Katanya sifat tertuduh itu telah merosakkan sesebuah institusi kekeluargaan sedangkan menjadi tanggungjawabnya sebagai ayah untuk melindungi kehormatan anak perempuannya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam beberapa kali mengulangi menginsafi perbuatannya dan sudah memohon maaf kepada isteri serta anak-anak.

Selain itu tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan keadaannya yang uzur kerana menghidap masalah jantung, darah tinggi, diabetes, sakit kulit kronik dan tulang belakang.

Dalam prosiding berasingan, dihadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh turut mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap isteri dan anak-anaknya.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Prosiding berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5664
Kongsi :
Previous post Honda Malaysia panggil balik 702 unit kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga
Next post Segerakan rumah baharu untuk mangsa kebakaran
Ubah saiz-+=