Bas percuma untuk golongan sasar mulai tahun depan – Roslan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Golongan sasar termasuk asnaf dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bakal menerima kemudahan perkhidmatan bas Panorama percuma tahun depan.

Exco Pengangkutan Datuk Roslan Ahmad berkata, sebanyak 24 unit bas Panorama baharu disediakan bagi tujuan itu meliputi 24 laluan bas di negeri ini.

“Kerajaan negeri di bawah Panorama sudah membeli bas itu dan sekarang dalam proses penerimaan dan penghantaran oleh syarikat pembekal melibatkan 24 unit bas baharu.

“Yang sudah siap sebanyak tiga unit bas dan dijangka diterima pada hujung Ogos ini dengan warna dan imej baharu.

“Sebelum ini masa zaman kepimpinan dahulu cuma ada tiga bas percuma seperti dari Melaka Sentral ke hospital, pasar dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya setelah mengambil kira semua laluan di Melaka, kerajaan negeri perkenalkan inisiatif itu melibatkan 24 laluan di negeri ini.

“Sekarang ini kita akan perkenalkan bas percuma seluruh negeri mengikut laluan tetapi percuma hanya untuk golongan sasar tidak terbuka untuk semua.

“Contohnya penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), golongan kelainan upaya (OKU) dan asnaf.

“Kita sedang usahakan untuk berikan kad khas kepada golongan ini dan mereka hanya perlu imbas kad sewaktu naik bas tersebut.

“Dengan adanya bas ini, bukan hanya penduduk di bandar terima manfaat malah di kampung, pedalaman serta desa juga tidak ketinggalan,” katanya lagi.

Katanya, bas baharu Panorama itu mengekalkan imej Negeri Melaka dengan warna yang berbeza.

“Kali ini kita perkenalkan bas berwarna putih dan mempunyai jalur berwarna biru, merah, kuning yang melambangkan bendera Negeri Melaka.

“Menariknya bas ini lebih kecil…hanya dengan ukuran sembilan dan 10 meter berbanding bas Panorama sedia ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Jual kupang tambah pendapatan
Next post ‘Aksi Aaron dan Wooi Yik mendebarkan seisi rumah’
Ubah saiz-+=