Basikal tua, vespa klasik antara 39 perarakan kenderaan di Banda Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 29 Ogos – Vespa klasik dan basikal tua menjadi antara 39 kenderaan yang akan terlibat dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Negeri Melaka di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, 31 Ogos ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, perarakan itu akan turut membabitkan kenderaan berhias daripada jabatan dan agensi kerajaan, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Selain itu, kata beliau, ia turut membabitkan beberapa persatuan dan kelab berdaftar seperti persatuan beca, persatuan motosikal klasik dan berkuasa tinggi, persatuan dan kelab-kelab kereta vintaj, bot dan lain-lain.

“Perarakan kenderaan ini akan turut melibatkan aset-aset jabatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.

photo_2023-08-07_14-42-36
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, kira-kira 8,000 peserta kontinjen akan menyertai perbarisan dan perarakan pada sambutan yang kali pertama diadakan selepas pandemik COVID-19 ini.

Katanya, perarakan dan perbarisan itu akan turut diiringi lapan kumpulan pancaragam daripada lapan buah sekolah di negeri ini.

Jelasnya, sekolah yang terlibat dengan pancaragam pada hari tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Francis, SMK Tinggi Melaka, SMK Tinggi Perempuan Melaka, SMK Infant Jesus Convent Military Band, Simfoni Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yok Bin, Sekolah Menengah Pay Fong SMK Katholik dan SMJK Pulau Sebang.

“Perbarisan itu nanti akan turut membabitkan pelajar mewakili badan beruniform di sekolah seperti Pengakap, Pandu Puteri, St. John Ambulan, Puteri Islam, Kadet Remaja Sekolah, Kor Kadet Polis, Kadet Bomba, Pasukan Bulan Sabit Merah dan lain-lain lagi.

“Malah, perbarisan kali ini turut menampilkan peserta cilik iaitu murid dari Tabika KEMAS bagi menambah seri dan kemeriahan sambutan tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2075
Kongsi :
Previous post Seorang mangsa tragedi bot terbalik di Teluk Batik meninggal dunia
Next post Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz
Ubah saiz-+=