
BAULU MAK WAN, LAMBANG WANITA HATI WAJA
REMBIA 22 Ogos – Usia emas tidak menghalang Mariah Mohamad, 66, untuk terus mengjar impian mengembangkan lagi pasaran produk Bahulu Mak Wan Alor Gajah yang diusahakan bersama suami sejak 2019.
Mariah berkata, bermula dengan perusahaan kecil-kecilan dari rumah dia kemudian beralih ke sebuah premis lebih luas dan selesa di Taman Seri Kelemak dan mula mengatur strategi untuk meluaskan pasaran produk termasuk mengintai peluang sekitar Lembah Klang.
Katanya, setiap hari dia yang dibantu empat pekerja menghasilkan sekitar 40 bekas baulu dan setiap dua minggu sekali wanita cekal ini menghantar sekitar 300 bekas baulu ke Lembah Klang untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Selain itu dia turut memasarkan baulu dihasilkan sekitar Negeri Melaka termasuk jualan secara terus di beberapa lokasi pasar tani dan pasar malam.
“Berkat kesabaran dan disiplin saya gunakan hasil keuntungan untuk menambah jumlah ketuhar dan mesin lain untuk menjadikan proses memasak bahulu lebih cepat. Hadiah paling istimewa adalah saya dapat membeli premis yang sebelum ini disewa daripada pemilik asal.
“Bagi mempelbagaikan lagi produk, saya juga menawarkan perkhidmatan membekal ‘goodies’ mengandungi baulu atau kuih lain seperti rempeyek bagi majlis perkawinan, saya cuba penuhi citarasa dan kehendak pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, bukan mudah untuk mencapai ke tahap sekarang kerana semuanya bermula daripada bawah tanpa sebarang kemahiran menghasilkan baalu atau kuih tradisional yang lain.
“Saya bermula daripada kosong, kerana mahu dapatkan ilmu terpaksa sertai kursus dianjurkan pihak-pihak berkenaan, alhamdulillah atas kesungguhan dan berkat kesabaran saya berjaya tempuhi semua cabaran.
“Selain baulu sebagai produk utama, saya juga menghasilkan rempeyek, muruku wajik dan dodol. Namun ketika ini pembuatan wajik dan dodol dihentikan seketika kerana permintaannya adalah mengikut musim,” katanya.
Atas dasar mahu berkongsi rezeki, dia amat mengalu-alukan pihak atau individu berminat menjana pendapatan menerusi aktiviti keushawanan untuk membantu memasarkan produk dihasilkan dengan tawaran harga kilang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.