Bawa suara petani, pesawah

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KLEBANG 13 Mac – Masalah sistem pengairan yang membelenggu petani dan pesawah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang menjadi antara fokus utama Datuk Lim Ban Hong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang berkata, sistem pengairan yang lebih baik sangat penting memandangkan DUN Klebang merupakan antara kawasan pertanian terbesar di Negeri Melaka.

Menurutnya, berdasarkan data, terdapat 180 pesawah aktif di Klebang membabitkan kawasan sawah semuas 530 hektar, manakala bagi bidang pertanian, kawasan yang masih aktif ialah seluas 15 hektar membabitkan 11 pengusaha.

“Pembinaan sistem pengairan ini sepatutnya bermula pada September tahun lalu dan siap pada 2025, namun, saya digahamkan ia tertangguh lagi dua tahun dan siap pada 2027.

“Baru-baru ini saya telah turun padang ke kawasan sawah padi dan tanaman jambu, rata-rata pengusaha memaklumkan tanah mereka kering serta merekah disebabkan musim kemarau, selain tidak menerima air yang mencukupi.

“Oleh sebab itu pentingnya sistem pengairan yang teratur dan apabila projek ini ditangguhkan selama dua tahun, kita bimbang ia akan menjejaskan aktiviti pertanian dan seterusnya memberi kesan kepada sekuriti makanan di Melaka pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Ban Hong, rentetan isu tersebut, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan agar projek sistem pengairan untuk kawasan pertanian itu diberi keutamaan dan fokus utama untuk diselesaikan.

Jelasnya, cadangan pertama ialah koordinasi di antara jabatan dan agensi berkaitan, antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain supaya kelulusan projek menjadi lebih mudah.

“Saya turut mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama diwujudkan bagi menggabungkan agensi dan jabatan di peringkat negeri serta persekutuan. Saya juga menawar diri untuk berada di dalam jawatankuasa ini supaya dapat membawa suara pesawah dan petani.

“Selain itu, kesiapsiagaan pam air yang tersedia juga perlu diberi perhatian antaranya dari sudut baik pulih, JPS perlulah mempersiapkan alat gantian lebih awal memandangkan pam air ini kerap rosak apabila sering digunakan ketika musim kemarau.

“Terakhir, saya juga menyeru anak syarikat Kerajaan Negeri untuk mengadakan kerjasama strategik dalam bidang pertanian bagi membolehkan tanah-tanah terbiar diusahakan dan seterusnya dapat menjamin sekuriti makanan negeri tanpa perlu bergantung kepada bekalan import,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

897
Kongsi :
Previous post Beri anak minum susu campur dadah: Ibu tukar pengakuan kepada tidak bersalah
Next post Idea luar biasa KM lonjak sektor pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=