Bazar Aidilfitri Klebang diteruskan, tukar lokasi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Kerajaan Negeri membenarkan penganjuran Bazar Aidilfitri Klebang tahun ini diteruskan bagi memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata lokasi tapak berkenaan bagaimanapun dipindahkan di tepi Pantai Klebang dan tapak ‘carboot sale’ yang diadakan pada setiap hujung minggu.

“Tentang Bazar Aidilfitri Klebang kita mahu memberi peluang dan ruang kepada dua-dua penganjur sebelum ini, kita anjurkan bazar ini di tepi pantai dan di kawasan ‘carboot sale’.

“Perubahan lokasi ini juga bagi menguruskan laluan trafik dengan lebih baik, kita dah sediakan juga kawasan parkir kereta yang bersesuaian kerana sebelum ini ada isu ulat ‘parking’ di kawasan tapak tersebut.

“Biarpun ada bantahan daripada pemilik persatuan penduduk dan pemilik premis, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian dengan tidak mengecewakan kedua-dua penganjur ini,” katanya.

photo_2023-03-07_13-10-11
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Zaidi Attan mengadakan sidang akhbar selepas Mesyuarat Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (CII) Negeri Melaka di Bilik Tun Mutahir, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SKIM) Bagi Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (CII) Negeri Melaka di Bilik Tun Mutahir Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ),Rosemanizam Mohd Nalif@Zawawi.

Untuk rekod, setakat ini MBMB akan membuka sebanyak 27 bazar Ramadan, diikuti MPHTJ 11 bazar Ramadan dan empat bazar Aidilfitri, MPJ (11 bazar Ramadan dan dua bazar Aidilfitri), manakala MPAG 13 bazar Ramadan dan tiga bazar Aidilfitri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9031
Kongsi :
Previous post PTHM tingkatkan penggunaan teknologi solar
Next post Melaka negeri kedua terbaik bebas rasuah
Ubah saiz-+=