Bekas pengerusi Mara Inc dicekup SPRM, berdepan tuduhan rasuah RM33.45 juta

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Bekas pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dan akan didakwa atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan bekas pengerusi berusia 65 tahun itu pada tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur, Jalan Duta, pada 9 pagi Jumaat ini dengan 22 pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

“Suspek berusia 65 tahun ini dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah oleh Mara Inc di Australia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, menurut sumber SPRM lagi siasatan kes itu bermula setelah portal berita The Sydney Morning Herald tahun lepas melaporkan seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.

Akhbar The Age di negara itu pula mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta) dengan wang perbezaan itu disalurkan balik kepada beberapa orang.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Mara Inc juga memiliki bangunan 12 tingkat di Swanston Street, Melbourne yang dibeli pada 2012 dengan media melaporkan Mara Inc kerugian hampir RM60 juta daripada transaksi itu.

Mara Inc memiliki sebuah lagi bangunan di Exhibition Street dengan nilai kesemua tiga hartanahnya di Melbourne mencecah RM300 juta.

Views:

574
Kongsi :
Previous post Tolong jaga tepi kain jiran: Latipah
Next post Muhyiddin lawat Indonesia esok atas undangan Jokowi
Ubah saiz-+=