Tolong jaga tepi kain jiran: Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 3 Feb. – Masyarakat di negeri ini diminta lebih peka dan mengambil tahu apa berlaku di kejiranan mereka bagi mengelakkan berlakunya kes seperti penderaan kanak-kanak mahupun keganasan rumah tangga sepanjang musim pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar berkata, sikap ‘menjaga tepi kain orang lain’ untuk tujuan positif  perlu diterapkan semula.

Katanya, ia susulan berlakunya banyak kes membabitkan keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak di negara ini, termasuk kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang dipercayai akibat didera di kediamannya di Taman Krubong Jaya, baru-baru ini.

Masyarakat katanya, perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pada setiap masa dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku membabitkan keganasan dan penderaan di kawasan kejiranan masing-masing.

“Saya menyarakan semua masyarakat mengambil kisah atau bahasa mudahnya jaga tepi kain jiran tetangga sekiranya berlaku sebarang kes penderaan atau keganasan tidak kiralah membabitkan kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

“Bila kita ambil tahu, bukanlah bermaksud kita mahu menyibuk hal orang lain, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat mengelak daripada berulangnya kes seperti yang terjadi kepada Allahyarham Amir, baru-baru ini.

“Jika kita dapati ada berlaku kejadian seumpamanya, kalau perlu tegur, mainkanlah peranan untuk menegur. Namun, jika teguran itu tidak berhasil segeralah menghubungi Talian Kasih 15999 atau lebih mudah menghubungi pihak polis,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Jumaat lalu, MHI melaporkan kisah tragis membabitkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa lemas, namun siasatan awal pihak polis menemui kecederaan fizikal pada badan mangsa disyaki akibat didera.

Sehubungan itu, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak malang itu yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut kes berkenaan, Latipah bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak cepat menjatuh hukum atau membuka aib ibu kandung mangsa serta keluarganya seperti yang sedang rancak dilakukan warga maya sejak akhir-akhir ini.

Katanya, tindakan seperti itu bukan sahaja memberi gangguan emosi kepada keluarga suspek bahkan boleh mengganggu siasatan pihak polis.

“Masyarakat tidak perlu tambah perasa dengan menghentam dan mencemuh keluarga suspek kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku.

“Janganlah cepat jatuh hukum dan biarlah pihak berkuasa siasat dan tentukan sama ada mereka benar-benar bersalah atau sebaliknya,” katanya lagi.

Views:

737
Kongsi :
Previous post Safe Aim Mutual Sdn Bhd cari pelumba muda
Next post Bekas pengerusi Mara Inc dicekup SPRM, berdepan tuduhan rasuah RM33.45 juta
Ubah saiz-+=