Bekas penghantar surat khabar, kini usahawan terung

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT KATIL 4 Julai – Seorang bekas penghantar surat khabar memilih tanaman terung sebagai komponen utama dalam perniagaannya dengan menyertai Program Rezeki Tani Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di negeri ini.

Ibharim Baharin,61, mula menceburi dunia pertanian sejak 2014 selepas mengambil keputusan tidak lagi menghantar surat khabar bagi menjamin pendapatan keluarga.

Anak kelahiran Melaka, sebelum ini memilih tanaman cili api dan timun sebelum beralih sepenuhnya kepada terung kerana penjagaan tanaman itu lebih mudah.

Katanya, pada awalnya dia membuat keputusan dengan menghantar anaknya Muhammad Siddiq Mustaqim,30, untuk mengikuti kursus perniagaan tersebut.

“Saya keluarkan modal sendiri RM10,000 pada waktu itu kerana masih belum menerima apa-apa bantuan.

“Alhamdulillah, apabila mula menanam terung, pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bermurah hati memberi sumbangan.

“Dengan sumbangan itu, saya dan anak usahakan untuk membeli segala peralatan dan mula bercucuk tanam pada April lalu selepas musim kemarau,” katanya kepada MHI.

Katanya, rezeki tidak diduga apabila lebih 1,000 kilogram terung berjaya dikutip selepas lima minggu hasil tuaian.

“Di sini saja ada 1,700 pokok terung, alhamdulillah setakat ini untuk pasaran tiada masalah dan pemborong tidak putus-putus mendapatkan bekalan dari kami.

“Jika tiada halangan saya sasarkan empat tan hasil tuaian terung untuk semusim,” katanya.

Ujarnya, jika minat itu disertai dengan ‘jiwa’ dan usaha sudah pasti ia membuahkan hasil biarpun pada awalnya agak sukar.

“Asalnya tapak ini tanaman pokok getah, saya dan keluarga timbus tanah ini hingga jadi tanaman terung.

“Tanaman terung mengambil masa 45 hingga 50 hari sehingga ia dipetik, terung juga punyai gred a,b dan c mengikut saiznya,” katanya lagi.

Views:

693
Kongsi :
Previous post Banci 2020: 32.6 juta penduduk Malaysia dibanci bermula Selasa ini
Next post JAIM pantau IPIS tak berdaftar
Ubah saiz-+=