Belajar sambil akses internet percuma di perpustakaan digital

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BUKIT KATIL 23 April – Kerajaan Negeri mewujudkan perpustakaan digital sebagai langkah proaktif dalam inisiatif celik digital yang menyediakan kemudahan akses bahan berkenaan secara percuma.

Ia diwujudkan menerusi kerjasama Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) yang sudah mula beroperasi hari ini dengan menyediakan kemudahan sebanyak 10 unit komputer dan 10 unit tablet khusus untuk orang awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata perpustakaan perlu berperanan memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada masyarakat mengenai kaedah pencarian maklumat yang sahih dan tepat.

“Saya menyeru Perpustam supaya sentiasa peka perubahan dan cabaran dalam ledakan maklumat dan teknologi tanpa sempadan hari ini terutama dengan kehadiran produk-produk baharu seperti e-Book dan i-Book.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha Perpustam dengan melanggan pangkalan data dan bahan digital daripada sumber sahih untuk dijadikan sumber rujukan.

“Selepas ini masyarakat boleh mendapatkan kepelbagaian sumber maklumat yang tersedia dalam perpustakaan digital ini dengan lebih pantas dan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Sempena Program Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Mekaka Tahun 2024 di Dewan Perpustam di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perpustam, Datuk Zaidi Attan; Pengarah Perpustam, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Mohamad Ridhuwan Wahab dan Ketua Pengajian, Pusat Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Husain Hashim.

Pada majlis itu turut diadakan gimik perasmian perpustakaan digital dan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Tahun 2024 serta penyampaian hadiah bagi Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2023/2024, peminjam aktif 2023 dan Pertandingan Jejak Maklumat.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata perpustakaan merupakan institusi sosial tertua di dunia berperanan sebagai asas pembangunan masyarakat terpelajar dan celik huruf di negara ini.

“Justeru, ini adalah satu perubahan drastik dilakukan untuk memastikan perpustakaan masih relevan dan menjadi tumpuan rujukan masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, perpustakaan digital berkeluasan 371 meter persegi yang mampu menampung seramai 80 pengunjung yang hadir pada satu-satu masa.

Perpustakaan ini juga menyediakan kemudahan kafe bagi memberi pengalaman kepada pengunjung belajar sambil mengakses internet dan jaringan tanpa wayar (WiFi) berkonsepkan restoran makanan segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

150
Kongsi :
Previous post Syarikat semikonduktor sasar pelaburan RM1 bilion di Melaka dalam tempoh lima tahun
Next post Nahas helikopter: Semua mayat mangsa telah dikeluarkan
Ubah saiz-+=