Belanjawan Melaka 2021 bukan untuk PRU-15

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 11 Dis. – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan pembentangan Belanjawan Melaka 2021 tidak realistik, sebaliknya ia lebih menjurus kepada rakyat keseluruhannya.

Katanya, dalam pembentangan Belanjawan Melaka 2021 pada Rabu lalu, lebih RM54 juta belanjawan telah diperuntukkan secara terus kepada rakyat.

“Tiada satu pun yang saya menjuruskan (belanjawan) itu menuju kepada PRU-15, itu adalah pandangan masing-masing.

“Saya tidak beranggapan begitu apa yang saya buat ini adalah khusus kepada rakyat yang sepatutnya menerima nikmat daripada limpahan ekonomi yang ada dalam negeri ini.

“Untuk makluman lebih RM54 juta daripada peruntukan ataupun bajet saya serahkan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di sidang media hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas, hari ini.

Terdahulu Ketua Pembangkang Adly Zahari pada sidang media hari ini mendakwa Belanjawan Melaka 2021 yang berjumlah lebih RM445 juta disifatkan tidak realistik sebaliknya menjurus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, perkara itu dilihat menerusi perbelanjaan yang dirancang menerusi peruntukan kepada Pejabat Ketua Menteri yang meningkat kepada RM5 juta berbanding RM3.15 juta yang diperuntukkan pada Belanjawan Melaka 2020.

Beliau mendakwa, bajet yang diperuntukkan tidak menjurus kepada kepentingan rakyat ketika kepayahan mereka menghadapi pandemik COVID-19 sebaliknya digunakan dalam operasi tertentu yang tidak diperincikan secara lanjut oleh kerajaan.

Views:

461
Kongsi :
Previous post ‘Perlu segerakan peruntukan rakyat dalam Belanjawan Melaka 2021’ – KM
Next post KPLB lulus cadangan bina jalan baru
Ubah saiz-+=