AB RAUF FAIL SAMAN TERHADAP MOHAMAD ALI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, selesai sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan saman fitnah yang difailkannya terhadap Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Mahkamah Tinggi Melaka, Kompleks Mahkamah Melaka, hari ini.

Pemeriksaan utama terhadap Ab Rauf yang juga plaintif diwakili peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berlangsung dihadapan Hakim Datuk Seri S.K. Raja Segaran.

Menurut Ab Rauf, kes berkenaan masih berjalan dan keputusan hanya akan diketahui selepas keseluruhan proses perbicaraan selesai kelak.

“Kes ini adalah saman yang saya failkan terhadap beliau berhubung satu tindakan fitnah (defamation suit).

“Perbicaraan masih lagi berjalan dan kita akan menunggu keputusan setelah kes selesai nanti,” katanya ketika ditemui selepas prosiding ditangguhkan hari ini.

Sementara itu Wan Azmir berkata, pemeriksaan balas terhadap Ketua Menteri bagaimanapun masih belum selesai selepas mahkamah menangguhkan perbicaraan ke satu tarikh yang lain.

“Hari ini adalah tindakan beliau terhadap defendan yang mana perbicaraan telah dimulakan dengan saksi pertama iaitu Datuk Seri Utama Ab Rauf telah memberikan keterangan.

“Keterangan Datuk Seri Utama Ab Rauf telah habis pemeriksaan utama manakala pemeriksaan balas belum selesai bagaimanapun perbicaraan ditunda ke tarikh yang lain memandangkan esok (Jumaat) beliau perlu hadir Mesyuarat Exco,” katanya.

Jelas beliau, bagi perbicaraan itu pihak plaintif akan memanggil tiga saksi, manakala difahamkan defendan akan memanggil empat saksi.

Terdahulu pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Melaka membenarkan Ab Rauf memperoleh injunksi ‘inter-parte’ (secara dua belah pihak) berhubung kes saman fitnah difailkan terhadap Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan BERSATU.

Injunksi ex-parte yang diperoleh sebelum ini bagi membolehkan semua hantaran ‘berniat jahat’ yang dibuat oleh pihak defendan di media sosial, diturunkan.

Berdasarkan notis permohonan plaintif untuk injuksi, defendan dikehendaki untuk memadam semua kenyataan, video, gambar dan penyiaran berikut bersama-sama dengan kenyataan, tajuk dan komen yang disertakan (dirujuk secara kolektif sebagai “Penerbitan Fitnah”) yang disiarkan di akaun TikTok defendan di bawah nama @cikguali71 dengan serta merta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post ‘SAYA PILIH SIAPA BERI MAS KAHWIN TERBAIK’ – AB RAUF