KPLB lulus cadangan bina jalan baru

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 11 Dis. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meluluskan cadangan pembinaan jalan baru dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram Masjid Tanah melibatkan kos keseluruhan RM36 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, ia merupakan cadangan pintasan jalan baru dari Persimpangan Kampung Jeram hingga Kampung Ayer Limau sepanjang tiga kilometer.

“Cadangan projek ini merangkumi tiga peringkat utama iaitu reka bentuk, pengambilan tanah dan kerja-kerja pembinaan.

“Bagi permulaan sebanyak RM250,000 diperuntukkan kepada cawangan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada tahun 2020 dalam Rolling Plan (RP4) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tahun 2020 bagi perancangan dan reka bentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) mengenai cadangan pintasan jalan baru pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri, hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja ukur di lapangan serta penyiasatan tanah telah bermula Mei 2020, manakala kerja-kerja reka bentuk secara konvensional (dalaman) dijangka siap hujung tahun ini.

“Status terkini projek telah diangkat bagi permohonan pengambilan tanah dan Pelan Pengambilan Tanah (PBT) Seksyen 4 yang diwartakan pada 16 Julai 2020.

“Iklan tender dijangka pada April 2021 dengan mengambil kira proses pengambilan tanah yang perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan sehingga proses bayaran pampasan selesai,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pembinaan dianggarkan selama dua tahun bermula Ogos 2021 dan dijangka siap pada Ogos 2023,” katanya lagi.

Views:

1502
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2021 bukan untuk PRU-15
Next post Nelayan lega permintaan sewa perahu meningkat
Ubah saiz-+=