Nelayan lega permintaan sewa perahu meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER LIMAU 11 Dis. – Kira-kira 30 nelayan sungai di Lubok China, dekat sini menarik nafas lega apabila kebenaran rentas negeri mula menampakkan peningkatan permintaan kaki pancing udang galah untuk menyewa perahu mereka.

Mereka kembali tersenyum selepas kebenaran itu pada Isnin membolehkan lebih ramai kaki pancing udang dari negeri lain menyewa perahu dan perkhidmatan mereka untuk melepaskan ‘gian’ memancing di lubuk galah di beberapa lokasi dalam kawasan berkenaan.

Zainal Md Ali, 65, berkata, dia mula menerima tempahan daripada kaki pancing untuk menyewa perahu bagi membolehkan mereka mencuba nasib di sungai.

“Berbanding keadaan semasa tiada sesiapa pun dibenarkan merentas negeri sebelum ini, perahu kebanyakan nelayan hanya tersadai di jeti dan kami mengucapkan syukur kerana Allah memurahkan rezeki kami.

“Selain memancing, penyewa perahu saya berpeluang mencari lokan dan memasaknya di Taman Lokan yang saya bina sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat sini hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kebenaran pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai Isnin lalu.

Abdul Maulud Idris, 57, berkata, kebanyakan kaki pancing sudah turun ke sungai mulai Isnin lalu selepas beberapa bulan tidak merasai keseronokan menyentap joran yang disambar udang galah.

“Semasa larangan rentas negeri dikuatkuasakan, tiada kaki pancing dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor menyewa perahu kami tetapi sejak Isnin lalu, sudah ramai yang turun ke Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi untuk merasai hobi memancing udang galah,” katanya.

Katanya, sejak larangan rentas negeri dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), nelayan sungai kehilangan pendapatan sampingan antara RM250 hingga RM1,000 sebulan berikutan ketiadaan kaki pancing menyewa perahu mereka.

“Kami mengenakan purata sewaan RM250 bagi empat atau lima kaki pancing dalam satu perahu dan ia termasuk kos petrol dari jeti ke lubuk udang dan jika kami boleh menyewakan ia empat kali dalam sebulan, kami boleh dapat pendapatan sampingan (sehingga) RM1,000,” katanya.

Katanya, pendapatan sampingan itu bukan setakat membantu mereka membiayai perbelanjaan keluarga, malah dijadikan sebagai tabungan untuk digunakan ketika hasil tangkapan merosot atau enjin motor sangkut dan peralatan menangkap ikan rosak.

Abdul Ghafar Mohd Ali, 57, berkata berikutan kehilangan sumber pendapatan sampingan itu, nelayan tidak ada pilihan, selain bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan yang diibaratkan umpama pasang surut air laut.

Jelasnya, bebanan itu lebih dirasakan nelayan yang tidak memiliki lesen menangkap ikan yang tidak menerima elaun sara hidup nelayan bernilai RM300 sebulan dan kemudahan e-petrol berbanding nelayan berlesen yang menerima bantuan berkenaan.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post KPLB lulus cadangan bina jalan baru
Next post Peniaga, penjaja kecil sambut baik Belanjawan Melaka 2021
Ubah saiz-+=