Peniaga, penjaja kecil sambut baik Belanjawan Melaka 2021

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 11 Dis. – Pelbagai insentif dan inisiatif yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam pembentangan Belanjawan Melaka 2021 disifatkan sebagai khabar gembira buat peniaga dan penjaja kecil.

Seorang peniaga makanan, Shazzuan Shah Mohd Salleh, 33, mengakui insentif yang diumumkan itu seakan memberi sinar baharu buat golongan peniaga sepertinya, apatah lagi tatkala negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Ujarnya, pengumuman dana Bantuan Kasih Niaga berjumlah RM1 juta diyakini dapat membantu menggalakkan lagi orang ramai menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Selain itu, katanya, pengurangan 50 peratus bayaran lesen kepada 10,715 penjaja dan peniaga kecil di negeri ini pada tahun hadapan juga memberi nafas buat mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebagai peniaga kecil, kami sangat berterima kasih dengan insentif serta inisiatif yang dilaksanakan untuk membantu kami.

“Saya percaya semua bentuk bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu golongan peniaga dan penjaja dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang untuk terus bertahan dalam situasi sekarang,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu turut menyambut baik inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga 2021’ yang turut diumumkan Ketua Menteri dalam pembentangan itu.

Ujarnya, inisiatif berkenaan diyakini dapat membantu rakyat yang sedang tertekan dalam situasi COVID-19, selain turut membantu meringankan beban kewangan mereka yang terlibat.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Nelayan lega permintaan sewa perahu meningkat
Next post Melaka mulai sesak dengan kenderaan pelancong
Ubah saiz-+=