Bengkel, klinik cungkil bakat OKU dalam sukan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 3 Disember – Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka giat mengadakan bengkel, klinik khusus untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah JBS Melaka Khairul Adri Rosli berkata, program yang diadakan itu bertujuan untuk mengenal pasti OKU yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelapis dalam bidang sukan pada masa akan datang.

Malah, katanya, JBS juga turut menyediakan kelas kenali bakat secara percuma untuk mengenal pasti potensi dan bakat setiap OKU di negeri ini.

“Percuma ini maksudnya daripada segi fasiliti yang kita sediakan termasuk membawa doktor dan fisioterapi untuk mengenal pasti potensi OKU tersebut.

“Jika buat di luar, ia akan menelan kos yang agak tinggi, tetapi kita sediakan percuma dan keluarga hanya perlu bawa anak-anak OKU mereka kepada kita jika mereka mempunyai potensi dalam sukan.

“Kita tidak menetapkan jenis-jenis sukan, tetapi kita buka ruang kepada semua jenis sukan termasuklah boling, memanah, badminton, renang, olahraga dan lain-lain asalkan mereka ada kebolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Karnival Sukan Inspire OKU Aktif Peringkat Negeri Melaka di sebuah kompleks beli belah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Adri berkata, golongan OKU di negeri ini tidak perlu takut atau malu untuk ke hadapan untuk menonjolkan bakat mereka kepada umum.

Menurutnya, OKU di negeri ini boleh mengambil contoh kejayaan Mohd Zikri Zakaria dan Balau (Muhamad Hafiq Hizwan Norizan) yang kini bergelar pemenang pingat emas dan pemecah rekod kebangsaan dalam Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma).

“Kadang-kadang ada OKU fikir mereka sudah tidak ada peluang, tetapi sebenarnya mereka ada kelebihan dan bakat terpendam yang tidak pernah ditunjukkan.

“Sebab itu, kita mahu ramai tampil ke depan. Jadi seperti Zikri dan Balau yang daripada dikatakan tiada harapan, kini telah menjadi atlet Para Sukma berjaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2019
Kongsi :
Previous post Bajet 2023 Negeri Melaka: Jangan lupakan belia, sukan – Exco
Next post Bayi perempuan ditemukan dalam kotak di kebun Jemaluang
Ubah saiz-+=