
BERAS MELAKA FASA KEDUA DIJANGKA DIPASARKAN BERMULA OGOS
AYER KEROH 29 Julai – Sebanyak 20,000 kampit Beras Melaka dijangka akan berada di pasaran hasil daripada tuaian varieti benih padi MR 297 musim kedua Ogos ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pada musim pertama tuaian sebanyak 50 tan beras dihasilkan dan daripada jumlah itu kira-kira 4,000 kampit dipasarkan.
Dr. Muhamad Akmal berkata, Beras Melaka itu nanti akan diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri sebelum diedarkan ke kedai-kedai FAMA seluruh Melaka.
“Beras Melaka ini pengeluarannya kita jangka akan umum selewat-lewatnya pada Ogos ini. Pengeluaran kedua ini jangkaan kita sekurang-kurangnya 20,000 kampit akan dikeluarkan untuk kegunaan rakyat Melaka.
“Untuk ‘first batch’ sudah siap dan pengilang sudah tunjukkan kepada saya tetapi saya minta untuk tangguhkan dahulu supaya Beras Melaka nanti hanya boleh diedarkan oleh FAMA sahaja termasuk menerusi kedai-kedai FAMA,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, harga jualan Beras Melaka ditetapkan masih sama iaitu RM26 bagi 10 kilogram meskipun jauh lebih murah berbanding jenama lain.
“Beras Melaka tidak berkanji dan lebih wangi. Penjualan Beras Melaka khas untuk rakyat tempatan dan tidak boleh dijual kepada warga asing.
“Sebagai makluman pengeluaran Beras Melaka ini kita tidak lakukan sepanjang tahun, mengikut musim menuai padi di Melaka, contoh pada hujung Julai dan awal Ogos kemudian pada antara Januari hingga Febuari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.