Berdegil, terus jual barangan jenama tiruan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Jun — Sebuah premis pakaian dan aksesori di sebuah pusat beli belah di bandaraya ini seakan mencabar pihak berkuasa apabila terus berdegil menjual barangan berjenama tiruan selepas kali kedua diserbu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Malah difahamkan, bagi melariskan jualan barangan di premis berkenaan, jualan murah sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut ditawarkan dan sekumpulan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang ke sana bagi melakukan intipan dan serbuan turut ditawarkan dengan tawaran ‘beli satu, percuma satu’.

Dikatakan, premis terbabit menawarkan barangan seperti baju, kasut, tudung, pakaian dalam dan seluar berjenama tiruan dengan gred premium.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan terbaharu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, sebanyak 441 barangan berjumlah lebih RM143,000 dirampas pihaknya selepas disyaki cap dagangan yang dipakai adalah salah.

“Antara pakaian dan aksesori yang dirampas berjenama terkenal seperti Hermes, Christian Dior, Kenzo serta Givenchy dan kesemuanya dijual dengan harga tinggi.

“Susulan itu, seorang penyelia berusia 34 tahun ditahan dan kini direman selama tiga hari bagi siasatan lanjut. Malah kita juga kini giat mengesan pemilik premis berkenaan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, serbuan kelmarin adalah serbuan kedua selepas kali pertama dilakukan pihaknya pada 14 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Views:

327
Kongsi :
Previous post TYT mahu lihat perpaduan rakyat Melaka kekal utuh
Next post Mohd Ali Rustam takes oath of office as 7th Yang Dipertua Negeri of Melaka
Ubah saiz-+=