TYT mahu lihat perpaduan rakyat Melaka kekal utuh

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, Tun Dr Mohd Ali Rustam menzahirkan harapan agar perpaduan rakyat berbilang kaum kekal utuh demi kesejahteraan berterusan di negeri ini.

Menurutnya, aspek perpaduan merupakan resepi dan adunan terbaik dan kunci dalam mengekal dan menjamin keamanan serta perpaduan dalam kalangan rakyat agar dapat mengecapi nikmat kemakmuran dan keharmonian.

“Melaka dalam perjalanan sejarahnya dari empayar Melaka sehingga sekarang terkenal dengan suasana harmoni yang dipupuk oleh kepelbagaian kaum.

“Untuk ingatan kita sekalian, pengiktirafan UNESCO bagi negeri Melaka sebagai warisan dunia adalah atas pengenalan berikut, ‘criteria – interchange of values; testimony to cultural tradition, significance in human history’. Ini bermakna pengiktirafan UNESCO adalah berdasarkan unsur sejarah pengekalan harmoni antara penduduk negeri Melaka yang menghormati antara satu sama lain.

“Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kesejahteraan serta kemakmuran Melaka. Justeru, perpaduan adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan perpaduan rakyat Melaka dan Malaysia amnya.

“Saya juga berharap supaya rakyat Melaka saling menghormati dan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain. Pada masa sama, kita hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara, kita hendaklah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang akan merosakkan rasa muhibbah dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Seri Negeri, pagi tadi.

Pada masa sama, Mohd Ali turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya segera membudayakan norma baharu memandangkan dunia sedang berdepan pandemik Covid-19.

Jelasnya, norma baharu itu amat penting bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi terus berjalan dan dikuasai oleh rakyat.

“Bagi memastikan momentum agenda pembangunan dan kecemerlangan ini berkekalan, saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat untuk terus berganding bahu dan bersatu padu, mempertingkatkan semangat muafakat serta menyemarakkan semangat kerjasama dalam kalangan kita kerana itu adalah sebenarnya kunci kepada kejayaan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar negeri Melaka kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sentiasa menjunjung perlembagaan dan Rukun Negara.

“Negeri Melaka perlu terus berusaha untuk menjadi sebuah negeri maju yang mapan dengan meneroka pasaran industri baharu yang berteraskan teknologi digital dan industri 4.0. Sebagai sebuah negeri yang terkenal dalam bidang pelancongan, Melaka perlu kembali menjadi sebuah negeri yang terbersih dan terindah,” katanya.

Views:

473
Kongsi :
Previous post KM yakin kepimpinan TYT ke-7 mampu lonjak kegemilangan Melaka
Next post Berdegil, terus jual barangan jenama tiruan
Ubah saiz-+=