Berkorban bersihkan tali air elak banjir

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Mei – Lima petugas Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, di sini sanggup ‘berendam’ dalam tali air untuk membersihkan kotoran yang menyekat laluan air ke sawah.

Mereka tidak mahu menunggu kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hadir untuk membersihkan kayu, rumput dan pelbagai kotoran lain yang menyekat laluan air di 60 hektar sawah Kampung Paya Luboh, Tanjung Kling di sini.

MOHD Muaz (kanan) dan Yaakob membersihkan kayu dan pelbagai sampah sarap lain yang menyekat aliran di tali air sawah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, JAPERUN menerima aduan penduduk, terutama pesawah bahawa tali air berkenaan tidak dapat berfungsi secara sempurna.

“Kami segera ke lokasi berkenaan dan mendapati air tidak mampu mengalir secara sempurna akibat dipenuhi dengan kayu dan pelbagai objek lain.

“Kami membuat aduan kepada JPS tetapi ia perlu mengambil masa untuk jabatan itu mengupah kontraktor membersihkan tali air sedangkan pesawah semakin bimbang sawah mereka dilanda banjir lagi akibat air tidak dapat mengalir sempurna,” katanya di sini hari ini.

NOR Azman (baju putih) menyatakan sesuatu kepada petugas yang mengangkat kotoran menyekat laluan air di tali air sawah.

Nor Azman berkata, petugas JAPERUN terbabit sanggup ‘berkorban’ turun ke tali air bagi membersihkan kayu dan pelbagai objek lain yang tersekat di kolong di situ dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengalihkan semua bahan itu.

MOHD Muaz (kanan) dan Yaakob mengangkat bermacam sampah termasuk kayu dan botol plastik di kolong tali air sawah.

Petugas, Mohd Muaz Baharuddin, 33, berkata, tugas mengalihkan bahan tersekat itu bukan tugas hakiki dia dan rakannya tetapi tindakan itu diambil berdasarkan kepentingan pesawah.

“Air tidak berapa dalam, sekadar kira-kira 1.2 meter tetapi sebaik sahaja kayu besar berjaya dialihkan, air mula mengalir deras,” katanya.

Yaakob Eret, 55, berkata sekatan pada laluan air itu tidak seharusnya dibiarkan lebih lama lagi kerana hujan lebat hampir setiap hari menyebabkan aliran air di sawah perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik.

“Banjir yang melanda sawah minggu lalu menyebabkan 20 pesawah kerugian kira-kira RM150,000 selepas sawah seluas kira-kira 60 hektar musnah,” katanya.

Katanya, bergelumang dengan kotoran seumpama itu tidak menjadi masalah kepadanya dan rakan asalkan pesawah tidak menanggung kerugian berterusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Tengku Hassanal sumbang elauan diraja kepada rakyat Palestin
Next post ‘Lega boleh terus berniaga’
Ubah saiz-+=