Tengku Hassanal sumbang elauan diraja kepada rakyat Palestin

Masa Membaca:48 Saat

KUANTAN 23 Mei – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan kepada rakyat Palestin yang berdepan dengan serangan rejim zionis Israel.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata baginda berkenan supaya elaun itu disumbangkan ke tabung Pahang4Palestin yang dilancarkan kerajaan negeri semalam, sebagai tanda solidariti rakyat Tok Gajah kepada penduduk Palestin.

“Sesungguhnya patik dan rakyat jelata menyanjung tinggi kurniaan ini yang akan menjadi pembakar semangat dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang tertindas,” kata Wan Rosdy menerusi laman media sosial rasmi beliau.

Terdahulu, Wan Rosdy mengumumkan pelancaran tabung kemanusiaan itu dengan mereka yang berminat boleh menyumbang ke akaun Perbendaharaan Negeri Pahang di Bank Muamalat bernombor 06010002165711 dengan rujukan Pahang4Palestin.

Walaupun khusus untuk rakyat Pahang, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia bagi meringankan penderitaan dihadapi penduduk Palestin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Polis P.Pinang panggil beberapa saksi bantu siasatan tawaran vaksin
Next post Berkorban bersihkan tali air elak banjir
Ubah saiz-+=