Bersatu sedia pertahan kerusi disandang

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 4 April.- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia mempertahankan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu, jika UMNO kekal mahu meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, parti itu tidak mempunyai pilihan lain selain melawan UMNO di kerusi terbabit.

“Kita akur dengan kedudukan apa yang dilaungkan oleh UMNO. Kita mengulangi kesediaan untuk melawan setiap kerusi seperti mana mereka (UMNO) telah nyatakan untuk meletakkan calon-calon di semua kerusi Parlimen.

“Yang penting ketika ini Biro Politik Bersatu sedang merangka gerak kerja ke arah itu untuk kita lebih bersedia menghadapi PRU15 dan apa yang diputuskan akan diangkat kepada MPT, untuk diberi pengesahan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Pak Wan Prihatin di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata, isu berkenaan merupakan antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat MPT semalam, dan ia dibuat selepas meneliti kenyataan dikeluarkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir minggu lepas.

Mengulas sama ada hubungan UMNO dan Bersatu dapat dijernihkan sebelum PRU15, Mohd Redzuan berkata ia bergantung kepada sama ada UMNO boleh memilih kepimpinan baharu yang mengembalikan perjuangan asal parti berkenaan.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata MPT Bersatu mengulangi komitmennya untuk memperkukuh kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post Polis nafi anggota meninggal kerana komplikasi vaksin COVID-19
Next post Anggota polis yang kononnya meninggal dunia, tidak alami gejala semasa disuntik
Ubah saiz-+=