Polis nafi anggota meninggal kerana komplikasi vaksin COVID-19

Masa Membaca:59 Saat

IPOH 4 April. – Polis menafikan maklumat tular yang mendakwa seorang anggota daripada Balai Polis Gerik meninggal dunia selepas dimasukkan ke unit kecemasan hospital daerah itu akibat pengambilan dos kedua vaksin COVID-19.

Sebaliknya kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, anggota berpangkat koperal itu sedang dirawat di Hospital Taiping dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat.

“Anggota terbabit berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan stabil serta akan dirujuk ke Institut Jantung Negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun media sosial yang berkenaan kerana menyebarkan berita palsu mengenai kematian warga Polis Diraja Malaysia akibat penerimaan vaksin COVID-19 serta mendatangkan kegusaran kepada masyarakat untuk menerima suntikan tersebut.

“Keluarga mangsa juga menerima kesan akibat sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang tular,” katanya.

Terdahulu, tular satu maklumat palsu mengenai kematian seorang anggota polis di Gerik akibat pengambilan vaksin COVID-19. Berita palsu itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Junaidah June.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1767
Kongsi :
Previous post PDRM merancang perbesar Unit K9
Next post Bersatu sedia pertahan kerusi disandang
Ubah saiz-+=