
#BESMART COWBOYS JOHAN RAGBI MSS MELAKA 2025
PAYA RUMPUT 18 Ogos – Pasukan ragbi Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, #BeSMART Cowboys berjaya melakar sejarah baharu apabila dinobatkan sebagai johan Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun (B12) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Negeri Melaka 2025.
Ia merupakan kemenangan pertama buat pasukan itu yang baharu ditubuhkan pada Mei 2022.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang 10 Krubong, di sini, #BeSMART Cowboys berjaya menewaskan SK Duyong, ‘Duyong Falcon’ dengan keputusan 29-12, sekali gus menamatkan saingan dengan menjulang trofi kejuaraan buat julung kalinya.
Lebih istimewa kemenangan itu juga mengekalkan rentak kemenangan bersih tanpa tewas pasukan itu sepanjang kejohanan pada tahun ini.
Perjalanan #BeSMART Cowboys menuju takhta juara bermula dengan prestasi sempurna di peringkat kumpulan apabila mengungguli Kumpulan F tanpa tewas.
Ia bermula dengan kemenangan besar ke atas SK Alor Gajah 1 (54-0), SK Merlimau Dua (42-0), SK Pulai (35-0), dan SK Durian Tunggal (12-5).
Rentak kemenangan skuad bimbingan pengurus pasukan, Azizul Hakim Muda dan jurulatih Ahmad Faiz Malek Sifulazan itu diteruskan di pusingan play-off apabila berjaya menewaskan SK Tanjung Minyak 31-19, sebelum mara ke suku akhir divisyen Cup dan mencatat kemenangan selesa 34-0 ke atas SK Tanjung Minyak 2.
Di peringkat separuh akhir, #BeSMART Cowboys sekali lagi membuktikan keunggulan dengan menewaskan SK Jasin 20-10, seterusnya melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Lebih manis lagi, pemain Tigh Head Prop #BeSMART Cowboys, Muhammad Farish Jailani telah dianugerahkan sebagi pemain Forward terbaik kejohanan.
Malah, lebih membanggakan, kejayaan bersejarah pasukan #BeSMART Cowboys itu dilakar meskipun sekolah mereka menjadi salah satu sekolah rendah di Melaka yang tidak mempunyai padang sendiri.
Ia sekali gus membuktikan semangat juang dan dedikasi tinggi para pemain, sokongan jitu tanpa berbelah bahagi ibu bapa, barisan kejurulatihan, dan pengurusan berjaya membantu kecemerlangan anak murid dalam sukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.