‘Bike Week’ meriahkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Penganjuran Malaysia Bike Week Melaka 2024 antara usaha dilaksanakan bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GP MOTO), Datuk Sulaiman Samia’an berkata, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan program terbabit sebagai menyokong usaha Kerajaan Negeri Melaka menjayakan TMM 2024.

Katanya, lebih 20,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara berkampung di Melaka selama tiga hari sempena Malaysia Bike Week Melaka 2024, bermula semalam.

“Program ini menghimpunkan motosikal pelbagai jenama yang diadakan sebagai usaha memeriahkan lagi sambutan TMM2024 yang sedang rancak berlangsung ketika ini.

“Harapan kita adalah untuk menjadi elemen penting dalam TMM2024, keutamaan kita tahun ini adalah membantu serta menyokong Melaka.

“Pelbagai inisiatif serta kaedah yang diwujudkan Kerajaan Negeri untuk TMM2024, jadi penganjuran Malaysia Bike Week Melaka 2024 juga merupakan inisiatif menarik kehadiran orang luar ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Malaysia Bike Week Melaka 2024 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Perbadanan Melaka (MCORP) malam tadi.

Malaysia Bike Week Melaka 2024 berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok membabitkan penyertaan 100 kelab motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara, selain
Singapura, Thailand dan Indonesia.

Perasmian program berkenaan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini.

Sepanjang penganjuran acara itu, kerajaan negeri Melaka menyasarkan kehadiran pengunjung melebihi 200,000 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post Malaysia Bike Week Melaka 2024 angkat Melaka destinasi pelancongan permotoran unggul – Ab Rauf
Next post ‘Popeye ajar Ab Rauf tunggang motosikal besar’
Ubah saiz-+=