Malaysia Bike Week Melaka 2024 angkat Melaka destinasi pelancongan permotoran unggul – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 14 Jun – Penganjuran Malaysia Bike Week Melaka 2024 secara tidak langsung mengangkat Melaka sebagai hab destinasi pelancongan yang unggul berasaskan permotoran diperingkat nasional dan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif penganjuran program pada 14, 15 dan 16 Jun itu impak yang positif khususnya kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik turut diatur khas untuk peminat-peminat dunia permotoran, antaranya, pameran motosikal, Motor Drift, Bike Show dan cabutan bertuah yang mana hadiah utama berupa sebuah Proton X50 selain 10 motorsikal.

“Bagi menggamit kemeriahan Malaysia Bike Week Melaka 2024 kali ini, Kerajaan Negeri turut membawakan Pameran khas Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Sebanyak 37 koleksi kenderaan automotif klasik keluarga Diraja Johor mempunyai nilai sejarah tidak ternilai seperti koleksi Mack Truck Scorpion, Morgan 3 Wheeler, HD Street Glide Tiger dan banyak lagi koleksi kenderaan klasik yang sukar ditemui untuk tatapan umum sebagai sebahagian pengisian program Malaysia Bike Week yang diadakan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Dataran Perbadanan Melaka (MCORP), di sini malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Lebih istimewa, pada majlis makan malam tersebut, pengunjung turut disajikan dengan persembahan daripada penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip.

Dianggarkan lebih 20,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi seluruh Malaysia dan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand hadir memeriahkan majlis diatur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post Makan Malam GP Moto himpun 20,000 ‘bikers’
Next post ‘Bike Week’ meriahkan TMM2024
Ubah saiz-+=