Bincang langkah bendung COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERI NEGERI 13 Jan. – Rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mulai hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali mengadakan perbincangan dalam Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri khusus berkaitan langkah memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Sulaiman dalam hantaran di Facebook (FB) rasminya menjelaskan, pada masa sama beliau menekankan intipati berkaitan Amanat Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam Negeri Melaka’.

“Mesyuarat hari ini mengambil maklum pelaksanaan PKP 2.0 yang dikuatkuasakan di Negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Johor dan Sabah bermula tengah malam tadi (13 Januari 2021) sehingga 26 Januari 2021, dalam usaha membendung penularan dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara.

“Saya tekankan Tahun 2021 adalah Tahun Pelaksanaan kepada segala dasar dan pelan yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri dengan tujuh inti pati ditekankan kepada penjawat awam di Negeri Melaka,” katanya.

Katanya, mesyuarat turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan barisan EXCO Kerajaan negeri.

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Bin Md Ali, di Pejabat TYT di Ayer Keroh, Melaka.PHOTO/MHI

Kerajaan negeri juga mengambil maklum dan menjunjung kasih atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung Proklamasi Darurat di seluruh negara seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga memberitahu telah mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam awal pagi tadi yang bertujuan mengongsikan perkembangan terbaharu pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, tempoh PKP 2.0 dan tempoh Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos 2021.

Sulaiman menerusi hantaran di FBnya juga memaklumkan beliau menyertai Sidang Video Khas bersama Perdana Menteri berhubung PKP 2.0 di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada petang tadi.

Sidang video tersebut turut disertai barisan Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan kepemimpinan tertinggi agensi keselamatan negara.

Turut sama dalam sidang video itu, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka, Mohd Nasrul Menhat.

Views:

300
Kongsi :
Previous post Buku teks sekolah kini dalam versi digital – KPM
Next post Ibu Fadillah Yusof meninggal dunia
Ubah saiz-+=