Sorting by

×

‘BMF tidak gagal, tetapi pengurusan’

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

MASJID TANAH 19 Mei – Rata-rata penduduk dan peniaga sekitar Masjid Tanah menolak persepsi penutupan Malakat Mall, di sini, berpunca daripada kegagalan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF).

Sebaliknya, ada yang mendakwa penutupan itu berpunca daripada kegagalan pihak pengurusan itu sendiri.

Seorang penyewa yang juga pengusaha Khidmat Urutan Refleksologi di Malakat Mall Norliza Awaludin, 60 berkata, sejak memulakan perniagaan di situ penduduk sekitar atau pelanggan sentiasa memberi sokongan kepada produk bumiputera.

Namun, dakwanya, masalah sebenar yang dihadapi ialah dari segi pengurusan yang disifatkan carca-marba.

Malah dakwanya, penyewa di situ sehingga kini tidak pernah menerima notis pemberitahuan memaklumkan pusat beli-belah itu akan ditutup.

“Pengurusan di sini boleh dikatakan bermasalah dan gagal kerana sering bertukar orang yang meminta bayaran sewa bulanan, belum lagi pengurusan tidak menyediakan resit bayaran, dan ada yang meminta tandatangan peniaga menggunakan pensil.

“Perkara itu membuatkan kami peniaga ragu-ragu, dan kalau dikaitkan dengan isu BMF gagal, BMF tidak gagal, namun pengurusan di sini gagal kerana di Malakat Mall di negeri lain berkembang dengan jayanya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

NORLIZA

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata peniaga sudah mula mengosongkan premis mereka di pusat beli-belah itu, namun terdapat beberapa peniaga yang masih beroperasi.

Melaka Hari Ini cuba mendapatkan reaksi pihak pengurusan, namun gagal.

Sementara itu, seorang peniaga minuman berhampiran Malakat Mall, Salmah Shariff, 64 mengakui perniagaannya sedikit sebanyak terjejas dengan berita penutupan itu.

Ujarnya, sebelum ini rata-rata pekerja dan pelanggan sering membeli air jualannya yang terletak 200 meter dari pusat beli belah Bumiputera itu.

“Sedikit sebanyak memang terjejas apabila pusat beli belah itu ditutup namun saya nafikan penutupan Malakat Mall itu menjadikan BMF gagal di Melaka.

“Walaupun setelah Malakat Mall ditutup tetapi banyak lagi kedai-kedai bumiputera yang menjual produk BMF di sekitar pekan ini,” katanya.

SITUASI dalam Malakat Mall yang mula kosong selepas berita penutupan pusat beli belah itu.

Seorang lagi peniaga makanan, Mohd Fakhruddin Sazali, 20, pula menyifatkan penutupan Malakat Mall langsung tidak memberi kesan kepadanya kerana dia masih mempunyai banyak pilihan membeli bahan mentah jualan di pasar raya lain yang berhampiran.

“Bukan sebab tidak menyokong produk BMF, tetapi banyak barang yang saya mahukan tidak dijual di Malakat Mall, jadi saya terpaksa mencari barangan itu di pasar raya lain.

“Kempen beli barangan muslim atau BMF ini sebenarnya tidak gagal. Takkanlah disebabkan pusat beli belah itu tutup terus nak katakan BMF itu gagal.

“Pada saya tidak benar kerana saya yakin dan percaya ramai lagi yang menyokong BMF dengan membeli produk BMF yang ada di sekitar pekan Masjid Tanah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2088
Kongsi :
Previous post Nafi penternak rancang protes tutup ladang ayam – FLFAM
Next post Hapus peranan orang tengah dalam sektor pertanian – PM
Ubah saiz-+=