Bomba lemas: Hasil siasatan diketahui dua minggu lagi

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KRUBONG 31 Okt – Hasil siasatan punca insiden lemas mengorbankan anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh 20 Oktober lalu akan diketahui dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Bakar Katain berkata, siasatan awal dalaman jabatan di peringkat negeri telah pun selesai minggu lepas setelah tiga hari siasatan berlangsung.

Menurutnya, jawatankuasa siasatan itu diketuai pegawai kanan jabatan dari Putrajaya dan turut melibatkan pakar perubatan Hospital Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Saya telah hubungi pegawai siasatan dan maklumkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini kita akan ketahui hasil siasatan yang dijalankan pihak jawatankuasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Mohd Diya di kediamannya di Taman Krubong Jaya, hari ini.

Alahyarham Mohd Diya meninggal dunia setelah lemas dalam misi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat pada 20 Oktober lalu.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Allahyarham dipercayai tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika memasang tali bagi mengeluarkan mangsa terperangkap banjir.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noraida Che Nor, 39 dan empat anak iaitu, Muhammad Daniel Hakime Mohd Diya, 18, Nurul Ain Balqis, 16 dan Muhammad Danish Hakim, 12 serta Nurul Anisa Ilya, 9.

Sumbangan daripada kutipan kumpulan Safety First berupa wang tunai berjumlah RM12,450 itu diserahkan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim kepada isteri mangsa, Noraida Che Nor, 39 tahun.

WAKIL kumpulan Safety Fisrt (tiga dari kiri) Samad Rahim menerangkan sesuatu kepada Noraida sambil diperhatikan oleh Abu Bakar ketika mengadakan kunjungan dan penyerahan sumbangan di rumah keluarga Allahyarham Mohd Diya di Taman Krubong Jaya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abu Bakar berkata, pihaknya telah memanggil 13 pegawai dan anggota bomba termasuk lima orang awam sebagi saksi terlibat dalam insiden operasi penyelamatan itu.

Ujarnya, siasatan jawatankuasa merangkumi pelbagai aspek menyeluruh termasuk kelemahan operasi penyelamatan dilakukan dan pematuhan SOP.

“Saya yakin dari segi operasi penyelamatan, kita sudah ikut prosedur operasi standard (SOP), mungkin ada sikit kelemahan di mana-mana tetapi biarlah pihak jawatankuasa buat siasatan dulu.

“Saya tidak mahu ganggu jawatankuasa sedang menjalankan siasatan, jadi kita tunggulah seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Kumpulan Safety First dianggotai anggota kakitangan awam dan swasta mewakili pelbagai bidang perubatan, pendidikan dan penguatkuasaan seramai 10,000 orang dan bergerak aktif melalui platform media Watapps sejak lebih empat tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post PM ‘jengah’ Melaka
Next post Jawatankuasa Kerja PAS akan tentukan penggunaan lambang di PRN Melaka
Ubah saiz-+=