BPP bantu pasarkan produk pelancongan Melaka di Lazada secara percuma

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 2 Julai – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka bakal melancarkan kempen promosi dengan kerjasama aplikasi e-dagang, Lazada Malaysia bagi membantu memasarkan produk pelancongan negeri ini.

Pengurus Besarnya, Sa’ari Basiron berkata, kempen promosi itu akan diadakan bermula 7 Julai bersempena sambutan Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO sehingga akhir September depan.

Kempen promosi itu, jelasnya, akan merangkumkan segala bentuk produk pelancongan Melaka termasuklah cenderamata, makanan ikonik, baucar tempat-tempat pelancongan dan lain-lain perkhidmatan dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus.

SA’ARI

Justeru, beliau menggalakkan semua usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pengusaha produk pelancongan agar berdaftar dengan BPP bagi membolehkan mereka menyertai kempen promosi itu secara percuma.

“Terdapat kira-kira 1,000 usahawan pelancongan di Melaka dan kita harap mereka dapat berdaftar dengan BPP bagi menyertai kempen promosi ini.

“Jadi baik peniaga IKS, pengusaha produk, ambillah peluang ini untuk memasarkan produk masing-masing kerana kita tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk masuk ke dalam platform Lazada ini.

“Malah, kita akan membantu dengan mengeluarkan segala bentuk promosi seperti ‘e-voucher’, ‘special deal’ dan diskaun sehingga 50 peratus yang kita tawarkan bermula 7 Julai hingga akhir September.

“Untuk maklumat lanjut atau mendaftar dengan BPP, peniaga dan usahawan IKS bolehlah menghubungi pegawai saya, Puan Asmaliana di talian 06-2328402,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Sa’ari turut meminta semua pengusaha produk pelancongan di negeri ini berani berubah mengikut peredaran zaman untuk memasarkan produk mereka.

Jelasnya, dalam situasi pandemik COVID-19 yang telah berlarutan lebih setahun ini, model perniagaan lama tidak lagi sesuai dilakukan memandangkan sektor pelancongan terjejas teruk kerana ketiadaan pelancong sejak pintu sempadan antara negeri ditutup.

“Saya harap semua peniaga dan pengusaha produk pelancongan agar berani berubah. Kalau tidak tahu atau berdepan masalah janganlah takut untuk berhubung dengan BPP.

“Kita akan cuba membantu mereka berubah ke arah digital dan sedia memberikan segala khidmat nasihat diperlukan,” ujarnya.

Pada masa sama, Sa’ari turut menzahirkan harapan agar penggiat industri pelancongan menjadi antara kelompok yang dipercepatkan menerima vaksin COVID-19 sebagai persediaan awal sekiranya industri pelancongan dibuka semula pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

742
Kongsi :
Previous post MAQIS tahan kontena bawa daging kerbau beku dari India tanpa permit
Next post Keputusan tawaran ke tingkatan enam diumum Isnin ini
Ubah saiz-+=