
BUANG SAMPAH DI KAWASAN AWAM, PUSAT HIBURAN DIBERI NOTIS
AYER KEROH 2 Mei – Sebuah premis pusat hiburan di kawasan Melaka Raya telah dikenakan tindakan selepas dipercayai membuang sampah di kawasan awam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, premis terbabit dikenakan tindakan pada satu Operasi Sampah Haram Pusat Hiburan yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, operasi berkala itu merupakan anjuran Jabatan Landskap Pengindahan Bandaraya MBMB dan turut disertai anggota penguatkuasa MBMB dan penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“MBMB telah mengeluarkan sebanyak tiga notis pemakluman kesalahan (NPK) bernilai RM1,500.
“Turut dikeluarkan satu lagi notis NPK bernilai RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2001.
“Manakala, di peringkat SWCorp sebanyak tiga Notis Pematuhan di bawah Seksyen 7(1)(b), Peraturan 8(1) Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di bawah Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial Perindustrian dan Keinstitusian 2018 iaitu tidak melantik pemegang lesen pemungutan sisa berdaftar telah dikeluarkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata operasi tersebut akan sering dilaksanakan bagi menjaga kebersihan di kawasan sekitar premis.
Katanya, semua operator perniagaan di bawah MBMB dinasihatkan untuk menjaga kebersihan dan melantik pemegang lesen pemungutan sisa berdaftar.
“Kita harap semua operator perniagaan bukan sahaja premis hiburan, untuk menjaga kebersihan sekitar premis.
“Dinasihatkan juga untuk melupuskan sampah mengikut peraturan yang diperuntukan dan aplikasi konsep konsep 3R (Reduce,Reuse,Recycle) bagi memastikan kelestarian alam sekitar kawasan bandaraya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.