Buang sampah sesuka hati sebabkan bau busuk

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TABOH NANING 14 Sept. – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati menyebabkan penduduk Kampung Padang Kambing, di sini terpaksa menghidu bau busuk dan meloyakan.

Seminggu yang lalu timbunan sampah haram di kampung itu hanya sebesar busut tetapi hari ini ia sudah membukit akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang lima tan sisa binaan dan sisa domestik.

Bagaimanapun, intipan pihak berkuasa setakat ini belum menemukan pihak yang dipercayai mendalangi kegiatan itu hingga menimbulkan rungutan penduduk berikutan bau busuk dari timbunan sampah.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Abdul Mutalib berkata, siasatan awal mendapati timbunan sampah itu didominasi sisa binaan yang dipercayai hasil daripada kerja mengubah suai bangunan.

“Ada banyak sisa binaan, dipercayai dihasilkan daripada kerja mengubah suai bangunan, sama ada rumah atau kedai yang dibuang tidak bertanggungjawab di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kami sudah dapat petunjuk pihak dipercayai bertanggungjawab melakukannya berdasarkan beberapa bil utiliti yang dijumpai di bawah longgokan sampah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Khairuladha dan beberapa pegawai SWM Environment Sdn Bhd (SWM) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menjalankan operasi bersepadu membanteras tapak pelupusan sampah haram di kampung berkenaan.

Ia dilancarkan berikutan aduan penduduk kampung yang tidak tahan dengan bau busuk dari longgokan sampah itu kerana selain sisa bangunan, sisa domestik turut dibuang di kawasan berkenaan.

Sampah itu kemudian dipindahkan dengan menggunakan jentera SWM ke pusat pelupusan sampah di Sungai Udang.

Beliau berkata, pihak yang melonggokkan sisa pepejal atau membenarkan sisa itu dilonggokkan di kawasan mereka, boleh didakwa mengikut Seksyen 71 Akta 672 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, pemilik bangunan yang menjalankan kerja ubah suai yang menghasilkan sisa binaan, harus melantik pemegang lesen perkhidmatan pemungutan sisa pepejal mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007.

Bagi membanteras aktiviti seumpama itu, SWCorp akan mempergiat usaha risikan dan tidak akan teragak-agak mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan, katanya.

Views:

731
Kongsi :
Previous post Usaha wujud produk pelancongan baharu Melaka
Next post Padah buat bising, remaja maut ditetak
Ubah saiz-+=