Buat laporan polis jika nama dikaitkan dalam isu PASLeak – Ab Rauf

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 24 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggesa pemimpin yang nama mereka ada dalam isu PASLeak supaya segera membuat laporan polis.

Katanya,ia penting sebagai usaha membuktikan mereka hakikatnya tidak terbabit dalam aspek merancang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan memenjarakan pemimpin UMNO.

Beliau berkata, laporan polis penting bagi membolehkan polis menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada memang benar isu berkenaan sekadar sampah atau surat layang seperti yang didakwa pemimpin PAS.

“Punca PASLeak mesti disiasat dengan teliti, sumber maklumat itu mesti disahkan oleh pihak berkuasa dan kalau sesiapa yang dituduh ingin menafikannya, ia harus melalui proses siasatan.

“Saya gesa pihak yang dinamakan dalam PASLeak supaya segera membuat laporan polis,” katanya selepas program Berlaga Centong di dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara, di sini hari ini.

Pada program itu, 300 anggota komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menghasilkan 3,000 mangkuk bubur lambuk dan 500 mangkuk dodol untuk diedarkan kepada anggota masyarakat.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara menegaskan, UMNO sentiasa bersedia menghadapi perang psikologi pihak tertentu yang disifatkannya bertujuan memecah-belahkan perpaduan ummah dan rakyat keseluruhannya.

“UMNO sentiasa berwaspada dengan perang psikologi kerana sudah berlaku banyak perkara dalam negara kita, walaupun sesuatu isu itu hanyalah fitnah, ia dipercayai rakyat, apatah lagi dalam dunia siber sekarang.

“Sama ada isu itu mahu dipanjangkan atau sebaliknya, pihak yang nama mereka ada dalam PASLeak harus buat laporan polis,” katanya.

Beliau menjelaskan, sesiapa sahaja mampu membuat penafian tidak terbabit dalam PASLeak tetapi polis mempunyai kepakaran untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada ia bersifat fitnah semata-mata atau sebaliknya.

Tular melalui media sosial isu minit mesyuarat PAS yang didakwa merancang untuk menjatuhkan UMNO dan BN, termasuk rancangan menyegerakan usaha menyumbat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke dalam penjara.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu menyifatkannya sebagai ‘dokumen sampah’ dan tidak perlu dipercayai kerana penularan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk
Seri Hamzah Zainudin menafikan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan UMNO dan BN seperti didakwa terkandung dalam dokumen minit mesyuarat yang tersebar.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, tidak perlu melayan isu PASLeak yang disifatkannya sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti dan hanya golongan ‘loyar buruk’ yang berminat untuk melayan surat berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Ayam dan telur cukup, tiada kenaikan harga
Next post MTUC perlu main peranan wujud hubungan baik majikan, pekerja – PM
Ubah saiz-+=