Bukan lagi Bukit St Paul, kembali nama asal Bukit Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDAR HILIR 2 Mac – Bukit St Paul di sini kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Melaka.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman berkata, pihaknya sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka (Bukit St Paul).

Menurutnya, ia bagi mengelak kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di sekitar kawasan itu.

“Memang nama asalnya ialah Bukit Melaka yang dinamakan sewaktu kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

“Namun apabila zaman penjajah, nama tersebut telah ditukar memandangkan ia terletak berdekatan gereja St Paul,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

PELANCONG berkunjung ke Bukit Melaka.

Pelbagai pihak sebelum ini mengemukakan cadangan kepada Perzim agar menukar nama asal Bukit St Paul ke Bukit Melaka yang digunakan sewaktu Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Ujar Mohd Nasruddin, ia kemudiannya dibantah oleh kumpulan lain yang beranggapan penukaran nama itu akan menjejaskan lokasi atau kedudukan gereja St Paul di situ.

“Mereka ingat kita ubah nama Bukit St Paul akan tukar sekali nama gereja di situ, ia tiada kene mengena.

“Kini tiada apa-apa isu yang timbul dan kita sudah kembalikan nama asal Bukit St Paul kepada Bukit Melaka,” katanya.

Menurutnya, Perzim telah melengkapkan kertas kerja bagi menukar kepada nama asal Bukit Melaka dan tindakan kelulusan kerajaan negeri nanti.

“Cadangan menukar nama Bukit Melaka ini sudah dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri cuma tinggal untuk mewartakan nama asalnya sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9428
Kongsi :
Previous post Hanya 35 kes akibat AEFI suntikan COVID-19 dirujuk ke hospital
Next post 11 kes MISC direkodkan di Melaka
Ubah saiz-+=