Sorting by

×

BUKAN SISIHKAN PENIAGA, HANYA DIMINTA PINDAH SEMENTARA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Pemindahan sementara melibatkan lebih 90 peniaga sekitar Pantai Puteri bertujuan untuk melancarkan kerja-kerja tambakan pantai dan pengindahan oleh pihak kontraktor dilantik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, proses pemindahan sementara peniaga lama dan baharu itu akan dilaksanakan secara sistematik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dalam masa terdekat ini.

Katanya, pihak PBT juga meminta seorang penganjur dilantik bagi memainkan peranan sebagai perantara, sekali gus memastikan rantaian sebaran maklumat menjadi lebih berkesan.

“Saya harap peniaga memahami situsi sekarang, mereka bukan tidak lagi dibenarkan berniaga cuma dipindahkan ke lokasi sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menambak laut.

“Proses ini perlu dilakukan secara sistematik agar kawasan tembakan selari, menjadi lebih cantik dan ini juga memudahkan kerja-kerja pengindahan serta landskap bakal dilaksanakan kemudian, jadi buat sementara waktu peniaga perlu berpindah.

“Apabila kerja-kerja penambakan selesai, ia akan disusuli pembangunan dan penyusunan gerai mengikut garis panduan PBT, kawasan ini juga akan dilengkapi kemudahan untuk pengunjung seperti laluan pejalan kaki serta pusat riadah,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini, pada Isnin.

Whatsapp image 2025 08 26 at 4.28.15 pm
PEGAWAI Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menampal notis pemindahan sementara di premis perniagaan yang terlibat.

Menurut Tuminah, setakat ini dua lokasi dicadangkan sebagai pusat perniagaan sementara selepas mengambil kira pelbagai aspek terutamanya mudah untuk diakses oleh pengunjung dan pelancong.

“Antara lokasi dicadangkan kawasan pokok besar belakang Pentas Budaya dan perkara ini sudah dibincangkan bersama penganjur. Pihak penganjur ditugaskan menguruskan hal berkaitan peniaga, sementara itu Japerun Pantai Kundor pula memantau agar tidak ada peniaga yang keciciran.

“Pemindahan ini memang wajib, saya amat berharap peniaga dapat memberikan kerjasama yang baik selain dimaklumkan juga PBT sudah memberi tempoh 14 hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4408
Kongsi :
Previous post MAIM RANGKA BAJET LEBIH INKLUSIF UNTUK 2026
Next post JALUR GEMILANG BERKIBAR MEGAH, BUKTI PERPADUAN KAUM FELDA HUTAN PERCHA