Bukti legenda Hang Tuah guna fakta

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Institut Kajian Tuah (IKAT) di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) memainkan peranan besar untuk memperbetulkan fakta keperibadian laksamana tersohor Melayu itu yang dan sejarah berkaitan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dipesongkan penjajah

Ketua Penyelidik Kajian Sumber-Sumber Baharu Hang Tuah, Prof Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, pihaknya mengambil pelbagai pendekatan untuk membuktikan kebenaran mengenai sejarah keagungan orang Melayu berdasarkan fakta.

Menurutnya, IKAT bukan sekadar menjalankan penyelidikan sebaliknya menjadi tempat mengumpul bahan berkaitan sejarah termasuk artifak dan manuskrip hasil kajian di negara-negara terlibat.

“Selama ini sejarah ini berterabur, negara luar menyimpan pelbagai bahan dan artifak berkaitan Hang Tuah tetapi kita tidak ada koleksi seperti itu.

“Malah sehingga hari ini kita tidak memberikan fokus mendalam kepada sejarah Hang Tuah, sebenarnya agenda itu diwujudkan penjajah supaya jangan membanggakan legenda orang Melayu dengan membutakan kita terhadap kewujudan Hang Tuah.

“Jadi peranan IKAT dan penyelidikan ini kita mahu perbetulkan, meluruskan sejarah yang dibengkokkan penjajah supaya kita mampu menjadi bangsa yang mempunyai identiti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, kajian bagi mengenali peribadi Hang Tuah sedang dilaksanakan dan kini mencapai 90 peratus untuk disiapkan membabitkan sumber-sumber baharu diperoleh dari negara Eropah dan Asia.

Ujarnya langkah mendedahkan sejarah sebenar itu akan dikongksikan kepada rakyat tidak lama lagi selepas menerima beberapa manuskrip, catatan dan artifak hasil penemuan di beberapa buah negara.

“Sekarang ini kerja mengumpulkan sumber ini untuk dibawa pulang ke Melaka dan dijangka Februari ini semuanya akan dikumpul.

“Kita mencadangkan lokasi Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) untuk dijadikan Pusat Pameran Sejarah Hang Tuah dan dijangkakan akan dirasmikan oleh Yang Di Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Mei depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8251
Kongsi :
Previous post Bangunan warna-warni cetus ‘mood’ ceria pelancong
Next post 5,000 bakal naik Melaka River Cruise percuma
Ubah saiz-+=