Sorting by

×

Bung Moktar tidak minta komisen RM3.5 juta supaya Felcra buat pelaburan

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak pernah meminta komisen RM3.5 juta daripada ejen pelaburan bagi mendapatkan kelulusan Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid, 43, berkata perkara berhubung komisen atau bayaran rasuah kepada Bung Moktar tidak dibincangkan semasa pertemuannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan itu bersama beberapa individu lain di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015.

Saksi pendakwaan ke-24 yang juga saksi utama dalam kes itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Bung Moktar dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Sebelum ini, semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, Madhi bersetuju bahawa terdapat percanggahan apabila beliau memberitahu mahkamah tiada permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar, sedangkan rakaman percakapannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 adalah sebaliknya.

Pada 7 Dis lepas, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu kerana menganggapnya sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.

Madhi juga bersetuju dengan cadangan Athimulan bahawa pemberian komisen atau wang pengenalan RM2.2 juta kepada Zizie Izette adalah amalan biasa dan pernah diberikan kepada introducer lain.

Athimulan: Kesemua syarikat korporat yang melabur dalam Public Mutual ada introducer?

Madhi: Ada yang ada dan ada yang tiada.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata kertas cadangan pelaburan unit amanah itu ada dibentangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Felcra.

Semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Madhi berkata dia telah dipanggil beberapa kali oleh pihak SPRM untuk merakam percakapan dan terdapat soalan yang tidak dapat dijawab kerana terlupa dan tidak pasti dengan jawapannya serta tidak dapat berfikir dengan betul ketika itu.

“Saya berasa keliru dengan keadaan ketika itu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi dipanggil berkali-kali memberi keterangan. Saya juga tertekan sebab terkejut kerana tidak pernah dipanggil oleh mana-mana pihak berkuasa sebelum ini,” kata saksi.

Pada prosiding 7 Dis lepas, Madhi mengaku memberi versi keterangan yang berbeza kerana dia berada dalam keadaan tertekan semasa sesi soal siasat pada tahun 2016 manakala rakaman percakapan terakhir hampir lima tahun selepas itu pada 4 Feb 2021.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan bersambung 26 Jan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post ADUN Perak ditahan positif dadah di pusat hiburan di Perai
Next post Keadaan banjir di Johor semakin pulih
Ubah saiz-+=