Cacat bukan penghalang bertani

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Julai – Status orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang untuk Mohd Azhari Abdullah, 20, berjaya dalam pengajian dan pertanian.

Penuntut Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di sini itu membuktikan kecacatan bukanlah halangan untuk menceburi sektor pertanian selain turut berjaya dalam akademik.

Sebaliknya, Mohd Azhari yang mengalami masalah pertuturan sejak lahir,
memanfaatkan tanah di belakang kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini untuk menanam cili padi bara melalui bimbingan neneknya, Jamilah Nasir, 60.

Minat berkenaan timbul selepas penternakan ikan keli dalam kanvas yang diusahakannya bersama-sama nenek dan ibunya, Junaidah Tompang, 39, berjaya.

Mohd Azhari mengusahakan 700 batang pokok secara konvensional di kebun berhampiran kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan awal Jun lalu, ibu yang kerja kilang hanya bekerja tiga hari seminggu manakala nenek yang kerja di kantin dalam KMM juga terpaksa bercuti.

“Kami bernasib baik kerana ikan keli yang kami pelihara beberapa bulan sebelum PKP 3.0 sudah boleh dipasarkan pada harga RM8 sekilogram dan dapatlah kami berbelanja untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di kebun cili padinya hari ini.

Dia berkata, sejak menamatkan pengajian di KMM pada Mei lalu, dia mengusahakan penanaman cili padi bara dalam 100 poli beg, selain 700 pokok secara konvensional.

Jamilah memberi makan kepada ikan keli dalam kanvas di belakang kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Mohd Azhari berkata, keputusan peperiksaan semester keempat yang diperoleh pada Khamis lalu memberi sinar untuknya melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Bagi subjek Biologi, dia memperoleh gred B, selain Sains Komputer 2 (A), Kimia 2 (B), Matematik 2 (B-), Bahasa Inggeris 2 (C) dan Kokurikulum (A).

Dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 dia bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal.
 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

804
Kongsi :
Previous post COVID-19: Balai Polis Kuala Sungai Baru ditutup
Next post Melaka antara terawal jalani MOVAK – KM
Ubah saiz-+=